Olimpik Paris: Trio memanah wanita tersingkir di tangan Indonesia
CABARAN trio memanah negara dalam acara berpasukan wanita recurve Sukan Olimpik Paris 2024, tersekat di peringkat pusingan penyingkiran 1/8 di Invalides, Paris pada Ahad.
Trio yang dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil tersingkir selepas kalah 3-5 kepada Indonesia, yang diwakili oleh Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia.
Pada aksi itu, trio Malaysia tewas 52-54 pada set pertama sebelum menyamakan kedudukan dengan 55-47 pada set berikutannya, namun akur dengan kekalahan 51-53 dan terikat 52-52 pada dua set berikutnya (2 mata untuk menang, seri 1 mata).
Indonesia seterusnya akan mencabar China yang terdiri daripada An Qixuan, Li Jiaman dan Yang Xiaolei selepas ini, manakala tiga wakil negara akan turun beraksi dalam pusingan 64 terakhir individu bermula Selasa.
Ariana Nur Dania yang kecewa dengan kekalahan tipis itu tetap berpuas hati kerana dapat memperbaiki prestasi selepas keputusan tidak baik pada pusingan ranking, Khamis lepas.
Beliau yang menyambut hari jadi ke-19 semalam bersama keluarganya dan pegawai dari Kontinjen Malaysia, mengakui mendapat tonik tambahan untuk mengatasi masalah gugup beraksi di Olimpik pertama.
"Seluruh keluarga (ibu bapa, kakak, adik lelaki dan adik perempuan) hadir ke sini untuk memberikan sokongan kepada saya. Saya sempat menyambut hari jadi dengan kek dan makan bersama keluarga di sini.
"Harap ia dapat meningkatkan keyakinan saya untuk acara individu nanti. Hari ini pun, saya dapat beraksi lebih baik berbanding pusingan individu tempoh hari,” katanya.
Ketua jurulatih Lee Jae Hyung berkata walaupun prestasi anak-anak buahnya lebih baik pada hari ini, mereka perlu memperbaiki beberapa kelemahan.
"Hari ini tiada gangguan angin, kita boleh melakukan panahan tetapi penamat kurang cemerlang. Di pentasi Olimpik, persiapan semua lawan baik, kita kena beranikan diri untuk buat lebih baik, akan terus cari rentak untuk acara individu,” kata jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang fasih berbahasa Melayu.
Pada pusingan ranking bagi menentukan undian aksi kalah mati acara individu dan berpasukan itu, Syaqiera yang mempunyai pengamalan beraksi di edisi Tokyo 2020 meraih tempat ke-14 dengan 663 mata, manakala Ariana Nur Dania (633 mata) dan Nurul Azreena (622 mata) masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-50 dan 60.
Seterusnya, Syaqiera akan turun beraksi dahulu menentang Alexandra Mirca dari Moldova pada Selasa ini, manakala Ariana Nur Dania dan Nurul Azreena akan berdepan cabaran sengit masing-masing daripada pemanah di kedudukan ke-15 Chiara Rebagliati dari Itali dan kedudukan kelima, Elif Berra Gokkır dari Turkiye sehari selepas itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!