Siti Hawa nekad terus berjuang buat golongan OKU

Siti Hawa (tengah) bersama ibu dan ayahnya merakam gambar kenangan selepas menerima anugerah khas Belia OKU.
Siti Hawa (tengah) bersama ibu dan ayahnya merakam gambar kenangan selepas menerima anugerah khas Belia OKU.
A
A
A

KUANTAN - Penerima Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Pahang 2024 nekad untuk lantang bersuara bagi membela nasib golongan itu.

Siti Hawa Apandi, 35, yang hanya berkerusi roda selepas menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 berkata, media sosial akan digunakan sebagai platform memperjuangkan hak komuniti berkenaan di negeri ini, selain bagi memohon sokongan daripada semua pihak.

"Saya akan pergiatkan lagi usaha memberi kesedaran kepada OKU dan membuka mata pihak berkaitan supaya cakna dengan komuniti kita.

"Pada ketika ini, fasiliti untuk kami masih berkurang, jadi saya perlu terus bersuara sehingga ada pihak yang cakna dengan kepayahan kami dan fasiliti dapat ditambah baik," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Tengku Hassanal berkenan menyampaikan Anugerah Khas Belia OKU kepada Siti Hawa
pada Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024 di Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.
Tengku Hassanal berkenan menyampaikan Anugerah Khas Belia OKU kepada Siti Hawa pada Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024 di Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.

Siti Hawa menerima anugerah khas itu yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohamad dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Siti Hawa yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang komputer, tidak menyangka akan menerima anugerah itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Hafiz Zulariffin (tiga dari kanan) berkenaan menerima anugerah dan sijil daripada Tengku Hassanal pada
Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024 di Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.
Dr Hafiz Zulariffin (tiga dari kanan) berkenaan menerima anugerah dan sijil daripada Tengku Hassanal pada Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024 di Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.

Jelasnya, kegembiraan yang dicapai ini akan dikongsi bersama ahli keluarga terutamanya ibunya.

"Alhamdulillah, anugerah ini juga adalah hadiah sempena sambutan hari jadi mama pada 24 Julai lalu," katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Diraja, Majer Dr Hafiz Zulariffin Zulkarnain, 33, mengakui tidak sangka mendapat anugerah khas daripada Kerajaan Pahang.

Katanya, kemenangan itu diketahuinya selepas dihubungi pihak urusetia meminta untuk hadir ke majlis yang berlangsung pada Ahad.

"Saya tidak jangka dapat anugerah ini dan masih terkejut," katanya.

Dalam pada itu, Fadzli memberitahu, Kerajaan Pahang komited memperkasakan belia negeri ini dengan peruntukan lebih RM3 juta pada tahun ini.

Menurutnya, ia disalurkan melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, MBM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.

“Belanja yang cukup besar ini diperuntukkan bukan sahaja bagi memenuhi keperluan dan minat pelbagai kelompok dan segmen belia, tetapi juga untuk menyediakan generasi pewaris yang berdaya saing, berdisiplin dan berketahanan yang boleh disandar harap untuk memimpin negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!