Melodies Buskers juara Busking Rock Kapak
SHAH ALAM - Melodies Buskers dinobat juara pertandingan Busking Rock Kapak membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad.
Ketuanya, Farizth Affendi Zulkipli berkata, penyertaan itu hanya sekadar mencuba nasib namun sangat bersyukur dipilih menjadi pemenang.
"Alhamdulillah memang kami tidak menjangka dapat menang kerana ada 10 kumpulan semuanya dilihat hebat. Bagaimanapun syukur, lagu Dalam Gerimis yang dinyanyikan kumpulan Visa bawa rezeki kepada kami.
"Kumpulan saya baru sahaja ditubuh sejak 2019, jadi banyak lagi kami perlu belajar dalam dunia buskers ini," katanya pada Sinar Harian.
Menurutnya, pertandingan yang dianjurkan Sinar Harian tersebut sangat bagus kerana ia percuma, tiada had umur ditetapkan dan terbuka kepada seluruh warganegara.
Ujarnya, banyak perkara dipelajari apabila berjumpa rakan-rakan buskers dan berharap program seumpama itu akan diadakan lagi pada tahun hadapan.
"Kami sangat berminat untuk menyertai pertandingan seperti ini, jika ada peluang lagi sudah pasti kami akan sertai," katanya.
Dalam pada itu, ketua merangkap pengurus Naufal Firasat Grup Band (NFG), Muhammad Naufal Abdul Latiff berkata, menjadi naib juara pada pertandingan itu sudah dikira kemenangan yang baik buat pasukannya.
Apa yang penting, ujarnya, persembahan dilakukan sehabis baik dan penonton akan mengingati apa yang dipersembahkan.
"Syukur tak boleh nak cakap apa, hasil usaha membuahkan hasil. Lagu Pawana nyanyian oleh Search ini sangat menggamit memori. Menang atau kalah adat pertandingan. Kami sangat gembira apabila melihat penonton terhibur," katanya.
Sementara itu, juri pertandingan berkenaan, Nizam Laksamana atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok, 57, berkata, setiap kumpulan ada kelainan dan keunikan tersendiri.
Jelasnya yang juga penyanyi era 1990-an, pemilihan lagu sangat penting kerana busker zaman sekarang tidak seperti dahulu.
"Menyanyi mesti kena sedap, suara tinggi atau nyaring mahupun rock tidak penting asalkan ia lunak didengar. Dahulu hanya menggunakan alat muzik gitar atau key board, tetapi sekarang berbeza mungkin kerana peredaran masa dan kreativiti.
"Pertandingan sebegini merupakan platform mengasah atau mengetengahkan bakat menerusi entiti media dan penerbitan ternama dalam negara. Jika masing-masing ada persediaan yang lebih lagi mungkin boleh pergi lebih jauh," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!