Murid Tahun 4 meninggal dunia ada sejarah disyaki makan tart keju

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A
KOTA KINABALU - Murid Tahun Empat yang disyaki mengalami keracunan makanan mempunyai sejarah disyaki makan tart keju yang dibeli bapanya sebelum dilaporkan meninggal dunia di Sandakan, pada Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sana berkata, jabatannya melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Sandakan telah menerima notifikasi satu kematian kanak-kanak disyaki keracunan makanan.

"Kes kematian ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan sejarah memakan makanan yang dibeli oleh bapanya iaitu disyaki tart keju pada 23 Julai lalu (Selasa).

"Kanak-kanak tersebut telah mengalami gejala cirit-birit, demam dan hilang selera makan. Pada 24 Julai, kanak-kanak ini mengalami sawan dan telah dibawa oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Rawatan kecemasan seterusnya diberikan kerana kanak-kanak itu didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dr Asits berkata, kanak-kanak itu telah dimasukkan ke wad perubatan pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia.

"Maklumat awal yang diperoleh, menyatakan bahawa ibu kanak-kanak tersebut juga ada memakan makanan tersebut dan mengalami gejala yang sama serta diberikan rawatan di Wad Perubatan Perempuan Hospital Duchess of Kent (HDOK).

"Bagaimanapun, sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan dan punca kematian masih dalam siasatan.

"Sampel makanan dan persekitaran turut diambil bagi tujuan menentusahkan punca kejadian," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, meninggal dunia akibat keracunan makanan dan perkara itu disahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Bagaimanapun, Mohd Mifzal Anaqi dikatakan bukan keracunan disebabkan makanan yang diperoleh dari sekolahnya kerana ibunya juga turut mengalami gejala yang sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!