Lima sekolah terpilih untuk KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah
SHAH ALAM - SHAH ALAM - Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad meneruskan inisiatif pendidikan antirasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah dengan melibatkan lima sekolah terpilih di Lembah Klang.
Program yang diadakan dari 31 Julai hingga 20 Ogos ini menyasarkan lebih 3,000 pelajar untuk meningkatkan kesedaran kepentingan integriti dan menolak rasuah.
Lima sekolah tersebut termasuk tiga di Shah Alam iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, SMK Seksyen 19 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah selain SMK Taman Kosas, Ampang serta SMK Presint 9 (2), Putrajaya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat KPS Berhad, Suzila Khairuddin berkata, pemilihan sekolah berdasarkan latar belakang pelajar yang berbeza dari segi kaum dan lokaliti.
“KPS ACT-I tidak sekadar melibatkan sesi perkongsian ilmu melalui video dan maklumat berkenaan integriti, tetapi juga menyediakan sesi interaktif seperti kuiz dan ikrar tolak rasuah.
“Sesi ini bertujuan mengukuhkan pemahaman pelajar mengenai bahaya rasuah dan pentingnya integriti dalam kehidupan seharian.
“Apabila pelajar ini pulang, mereka akan membawa balik bahan kempen anti rasuah yang diharapkan dapat menyebarkan kesedaran kepada keluarga dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Suzila, program tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (UNSDG) 16 yang menekankan keamanan, kesaksamaan dan tadbir urus organisasi yang baik.
Ujarnya, inisiatif itu akan memberi impak jangka panjang dalam pembentukan watak dan integriti individu.
“Program ini juga hasil kerjasama strategik dengan Rasuah Busters, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam kempen anti rasuah di peringkat akar umbi.
“Rasuah tetap menjadi cabaran besar yang mengancam struktur ekonomi, sosial dan politik negara. Walaupun banyak usaha telah dilakukan, amalan rasuah masih lagi wujud pada pelbagai peringkat.
“Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti membawa kepada penyalahgunaan dana awam dan perkhidmatan awam yang tidak efisien,” katanya.
Tambah beliau, KPS Berhad mendukung aspirasi Perdana Menteri untuk mencapai kedudukan 25 terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Jelasnya, pembentukan watak dan budaya cegah rasuah pada usia muda adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang berani menolak rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!