Risiko abai kesihatan mental kanak-kanak

Kanak-kanak tidak terkecuali dalam menghadapi masalah emosi. Gambar hiasan 123rf
Kanak-kanak tidak terkecuali dalam menghadapi masalah emosi. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KESIHATAN mental kanak-kanak dan remaja khususnya masalah kemurungan wajar diberi perhatian oleh ibu bapa dan masyarakat.

Ini kerana walaupun berkongsi simptom yang sama seperti golongan dewasa, kemurungan dalam kalangan kanak-kanak sering tidak disedari dan tidak dirawat.

Hakikatnya, kanak-kanak tidak terkecuali dalam menghadapi masalah emosi. Perubahan emosi dapat dilihat seperti sedih, takut, marah atau masalah tingkah laku.

Malangnya kemurungan boleh membawa kepada gangguan dalam proses tumbesaran serta pembelajaran mereka.

Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 15 tahun sudah meningkat kepada 16.5 peratus atau 922, 318 kes tahun lalu daripada 7.9 peratus atau 424,000 kes pada 2019, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini.

Statistik itu berdasarkan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi menangani isu yang amat membimbangkan itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah iaitu kolaborasi antara KKM dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.

KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 63 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari).

Artikel Berkaitan:

Turut dilaksanakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial melalui penempatan 200 pegawai psikologi (kaunseling) di hospital daerah dan klinik kesihatan.

KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang 2027, berbanding 18 pakar yang ada di hospital KKM setakat ini.

Selain itu, faktor persekitaran keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan kesihatan mental kanak-kanak. Kesejahteraan emosi ibu bapa, komunikasi yang positif, dan kestabilan keluarga membolehkan mereka berasa selamat, dihargai, dan terlindungi dalam keluarga.

Ibu bapa harus mempunyai kesedaran tentang kesihatan mental kerana mereka memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan kesejahteraan mental anak-anak. Ibu bapa juga perlu berbincang tentang perasaan anak mereka, bukannya hanya mengambil pendekatan menegur atau memarahi.

Selain itu, persekitaran sekolah juga mempunyai impak besar terhadap kesihatan mental. Sekolah yang memberi sokongan emosi, persekitaran yang positif dan menangani isu-isu seperti tekanan akademik dengan berkesan dapat membantu meningkatkan kesejahteraan mental golongan tersebut.

Sebelum ini, Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kanak-kanak wajar didedahkan dengan asas amalan kesihatan mental yang baik.

Katanya, kemahiran seperti penyelesaian masalah dan pengurusan tekanan akan membantu meningkatkan kesihatan mental.

Lam Thye berkata, adalah penting untuk memastikan sekolah mempunyai kaunselor mencukupi sama ada di sekolah rendah dan menengah.

Guru juga katanya, harus dilengkapi dengan pengetahuan asas kesihatan mental seperti kebolehan mengenali pelajar yang mengalami masalah mental dan kemahiran memberi sokongan emosi.

Katanya, peranan rakan sekelas atau pembimbing rakan sebaya perlu ditubuh di setiap sekolah kerana sesetengah kanak-kanak berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sebaya.

Program pendidikan kesihatan mental di sekolah dan komuniti juga membantu dalam meningkatkan kesedaran serta kemahiran untuk mengenal pasti masalah kesihatan mental pada peringkat awal.

Kesimpulannya, masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja adalah isu serius. Sokongan yang berterusan daripada keluarga, masyarakat dan sekolah dapat membantu mengatasi isu tersebut, selain mendapatkan bantuan daripada pihak KKM.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah/Mahkamah

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!