Kecekalan pengusaha kuih baulu berhasil
KUALA SELANGOR - Wanita berjiwa kental ini tidak pernah kenal erti putus asa, meskipun perusahaan kuih baulu pada awal perniagaannya tidak menjadi.
Bagi Siti Idayou Md Radi, 37, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan kuih yang dapat diterima pelanggan.
“Saya masih ingat pelanggan mengeluh kerana baulu saya rasa keras, pahit, liat dan hanyir, namun saya tidak mudah mengalah sebaliknya terus belajar.
“Saya merasakan, segala kritikan pelanggan ini sebagai penguat semangat dan berusaha untuk menghasilkan baulu yang lebih berkualiti,” katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2018.
Menjelaskan mengenai pengalamannya, Siti Idayou berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui cara pembuatan baulu.
Kata Siti Idayou, pernah dia dan suaminya, Pirdaus Syamsul Bahari, 39, ingin mempelajari cara pembuatan itu daripada pengusaha baulu, namun kecewa apabila permintaan mereka tidak pernah dilayan.
“Saya beberapa kali pergi ke rumah pengusaha baulu, namun mereka memberikan pelbagai alasan.
“Kami kemudiannya buat keputusan belajar melalui YouTube dan daripada situ saya terus tekun untuk menghasilkan baulu,” tambahnya.
Ibu kepada enam orang anak itu memberitahu, perniagaan kuih tradisional itu pada mulanya diusahakan di rumah ibunya di Kampung Parit 4 Sekinchan.
“Bukan senang untuk saya bermula kerana masa itu, kami hanya meminjam ketuhar elektrik ibu bagi menghasilkan baulu.
“Waktu mula-mula berniaga dulu, penghasilan baulu sedikit kerana menghasilkan 135 biji baulu sehari dengan setiap bekas diisi 45 baulu.
“Saya mengambil tempahan pelanggan dan selepas tiga bulan barulah saya membeli sebuah ketuhar gas lebih besar berharga RM3,000 menggunakan duit pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” jelasnya.
Tambah beliau, sehingga kini perniagaannya mempunyai keseluruhannya tujuh ketuhar dan seterusnya mampu mengambil lebih banyak tempahan daripada pelanggan.
Siti Idayou yang menghasilkan baulu di sebuah premis perniagaan di Kampung Sungai Gulang-Gulang kini mampu menghasilkan lebih 5,000 baulu setiap hari hanya dalam tempoh empat jam.
“Biasanya kerja-kerja penyediaan baulu dari proses bancuhan sehingga dibakar pada ketuhar dilakukan setiap Rabu dan Khamis,” ujarnya lanjut.
Kata wanita itu, kuih baulu yang dihasilkan itu dihantar ke kedai makan, kedai runcit terpilih dan menjualnya di tepi jalan berhadapan premis pembuatan kuih berkenaan.
“Saya mengambil inisiatif menjualnya sendiri kerana boleh bercerita kepada pelanggan tentang cara dan pembuatan baulu.
“Biasanya pelanggan yang singgah ke gerai kami akan datang semula untuk membeli baulu,” tambahnya yang mengakui baulu lebih sedap dimakan panas.
Siti Idayou berkata, keistimewaan baulunya itu terletak pada tekstur yang lembut, kenyal dan garing.
Lebih membangkitkan selera, katanya, kuih itu mempunyai bau yang pastinya membuatkan pelanggan tertarik.
Siti Idayou bersyukur kerana suami memberi semangat dan galakan kepadanya untuk terus menjalankan perusahaan berkenaan.
Menurutnya, segala penat lelahnya kini berbaloi apabila perniagaan atas nama 'Bahulu Rindu Ibu' itu kini semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
“Saya menyasarkan untuk mengembangkan lagi perniagaan ini di seluruh negara dan memperkenalkan lebih banyak jenis baulu kepada pelanggan.
“Sekarang mungkin saya berdepan kekangan sebab anak-anak sedang membesar dan berharap suatu hari nanti mereka dapat meneruskan legasi baulu ini ke
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!