Busana rasmi kontinjen Olimpik Malaysia jadi perdebatan

Busana pembukaan Olimpik Paris 2024 yang diperagakan oleh kontinjen Malaysia jadi bualan. Foto: X @AdamAdli
Busana pembukaan Olimpik Paris 2024 yang diperagakan oleh kontinjen Malaysia jadi bualan. Foto: X @AdamAdli
A
A
A

BARU-BARU ini media sosial hangat memperdebatkan busana pembukaan Olimpik Paris 2024 yang diperagakan oleh kontinjen Malaysia dikatakan tidak menunjukkan elemen Borneo.

Bukan itu sahaja, pengguna media sosial turut menyatakan bahawa pakaian berkenaan iaitu baju kurung dan baju Melayu tidak menunjukkan identiti Malaysia yang sebenar.

Lebih kontroversi apabila busana yang dikenakan oleh atlet-atlet Malaysia diberi nama ‘The Malaya’.

Hal tersebut ternyata menjadi bualan pengguna media sosial sehinggakan ada pihak yang menjadikan perkara tersebut sebagai agenda politik.

Dalam konteks Olimpik Paris 2024, busana rasmi kontinjen Malaysia tidak sepatutnya dijadikan ‘bahan’ politik dan diperdebatkan sehingga menimbulkan kekecohan serta pergaduhan pihak-pihak tertentu.

Sebaik-baiknya sokongan dan doa dititipkan buat pasukan negara dalam mendepani lawan bagi meraih pingat buat Malaysia.

Ini kerana, umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama tetapi berupaya hidup sebagai masyarakat majmuk.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menyatakan bahawa pakaian yang dicipta khas untuk kontinjen Malaysia pada upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai rekaan yang elegan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau percaya busana berkenaan akan menjadi satu kebanggaan kerana ciri-ciri yang ditampilkan melambangkan rakyat Malaysia.

Seterusnya, Hannah berpandangan bahawa pakaian berkenaan memberi keselesaan kepada kontinjen Malaysia.

Sebelum ini Astro Awani turut melaporkan bahawa kontinjen Malaysia akan menggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini pada pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.

Terbukti penampilan kontinjen negara yang mengetengahkan persalinan budaya warisan tempatan bukan sahaja memeriahkan acara pembukaan temasya sukan terbesar itu malah, berjaya meraih perhatian penonton di seluruh dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!