Nik Aidil Marina tidak kekok urus gajah
KOTA BHARU - Ramai yang mungkin tertanya-tanya wanita yang mengiringi dua ekor gajah sempena Majlis Perasmian Festival Keris dan Warisan Kelantan 2024, Istana Balai Besar pada Khamis lalu.
Wanita berkenaan, Nik Aidil Marina Datuk Nik Sapeia, 47, berada di tengah-tengah Sanum dan Cherry yang dilihat tenang walaupun dikerumuni orang ramai pada pesta terbabit.
Nik Aidil Marina ketika dihubungi mengakui bersyukur kerana dianugerahkan ALLAH SWT naluri yang mampu berkomunikasi dengan haiwan itu.
Menurut isteri kepada Ketua Jajahan Gua Musang itu, Nik Raisnan Daud, idea untuk membawa gajah itu adalah daripada pihak pengurusan istana yang mahu berkongsi pengalaman bersama rakyat.
"Saya mencadangkan supaya membawa gajah denak bernama Sanum dan Cherry kerana kedua-duanya lebih rapat dan tidak banyak ragam.
"Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan dua ekor gajah itu sentiasa tenang walaupun ramai yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar ketika program berlangsung," katanya.
Berkongsi kisahnya berjinak-jinak dengan gajah, Nik Aidil Marina berkata, segalanya bermula kira-kira enam tahun lalu ketika suaminya bertugas di Jeli.
"Saya memang gemarkan aktiviti lasak dan tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat sendiri operasi pindah dan menyelamatkan gajah.
"Daripada pengalaman itu, saya mula berjinak-jinak dengan gajah denak dan kini bukan sahaja mampu berkomunikasi malah sangat menyayangi haiwan berkenaan," katanya.
Nik Aidil Marina yang menetap di Putera Valley Tanah Merah, memberitahu, banyak mendapat kerjasama daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang memberi tunjuk ajar memandikan serta memberi makan gajah.
"Gajah pertama yang saya kenal ialah gajah denak bernama Abot kemudian Kasturi, Pek, Sanum dan Cherry yang berada di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Temerloh, Pahang," katanya.
Nik Aidil Marina menafikan menggunakan 'ilmu' tertentu seperti yang didakwa sesetengah pihak termasuk netizen.
Jelas beliau, gajah juga cepat mesra jika kita menunjukkan kasih sayang dan dapat mengingati individu yang menyayanginya.
"Mungkin sebab saya suka memeluk dan membelainya, maka gajah-gajah itu sayang dan kuat cemburu, mula menjadi manja," katanya.
Sebelum itu juga tular video wanita tinggi lampai ini menarik telinga serta memeluk erat belalai gajah selain tidak kekok memberi makan kepada haiwan berkenaan.
Sebagai pencinta haiwan terutama gajah, ibu kepada dua anak berusia 24 dan 22 tahun itu turut menyimpan impian menyediakan kawasan khas untuk gajah mandi dan berehat.
Bagaimanapun beliau mengakui kosnya sangat tinggi dan tidak mampu dilaksanakan.
"Setiap kali ada gajah denak yang dibawa untuk operasi pindah gajah liar, haiwan itu perlu berehat dan saya bersama kakitangan Perhilitan akan memastikan keselamatan dan keselesaannya.
"Biasanya saya suka memberi haiwan ini tembikai untuk menyejukkan badan selain makanan utama batang pisang dan tebu," katanya.
Ketika ditanya mengenai konflik antara gajah dan manusia, Nik Aidil Marina berpendapat, gajah yang memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman tidak ada makanan kerana kemusnahan hutan.
"Kita berharap haiwan ini dapat diselamatkan dan ditempatkan di kawasan yang memberi keselesaan untuk meneruskan hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!