'Jangan hanya rakam, segera lapor Perhilitan'

Tangkap layar daripada rakaman tular menunjukkan seekor beruang tersesat di sekitar daerah Kuala Terengganu.
Tangkap layar daripada rakaman tular menunjukkan seekor beruang tersesat di sekitar daerah Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seekor beruang yang dipercayai ditemui di sekitar Kampung Paloh, di sini diminta segera melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, mereka juga dinasihati untuk tidak menggangu haiwan liar sekiranya dijumpai di mana-mana lokasi termasuk dalam kawasan bandar atau penempatan penduduk.

"Jangan kejar atau kacau haiwan tersebut. Ambil gambar, video serta lokasi dan segera laporkan kepada pihak Perhilitan supaya kita boleh segera bertindak untuk menyelamatkan haiwan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Seekor beruang yang dipercayai tersesat memasuki kawasan kampung di Kuala Terengganu.
Seekor beruang yang dipercayai tersesat memasuki kawasan kampung di Kuala Terengganu.

Menurutnya, bagi memastikan proses menyelamat berjalan lancar, pengadu diminta menyatakan nama, nombor telefon, jenis aduan serta alamat atau lokasi haiwan itu dijumpai.

"Mereka juga boleh memberitahu lokasi dimana haiwan itu ditemui melalui pesanan mudah alih WhatApps bagi membolehkan tindakan segera diambil," ujarnya.

Sebelum ini, tular video yang dimuat naik menerusi hantaran di media sosial Facebook pada petang Ahad.

Kean Seong berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan beruang tersebut dan telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan sejak petang Ahad.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya pihaknya turut menyiasat video tular terbaharu pada malam Ahar yang menunjukkan haiwan itu berada di kawasan Losong.

"Sehingga kini kita masih lagi menjejaki beruang tersebut dan ia dipercayai telah masuk ke kawasan belukar berdekatan," ujarnya.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung haiwan itu atau mana-mana haiwan liar diminta menghubungi Perhilitan Terengganu di talian 011-6498 9551.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!