Enam 'mat rempit' dicekup

Sebahagian motosikal yang disita dalam operasi berkenaan. Foto IPD Johor Bahru Selatan
Sebahagian motosikal yang disita dalam operasi berkenaan. Foto IPD Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keasyikan enam 'mat rempit' melakukan aksi berbahaya sehingga menganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain di sekitar jalan Skudai Pantai Lido, pada Ahad, mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan dalam OP Samseng Jalanan (Mat Rempit) yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mulai jam 5 petang Ahad hingga 3 pagi, Isnin.

"Operasi kali ini dijalankan di lokasi hotspot pada setiap hujung minggu bagi samseng jalanan yang bukan sahaja berlumba sesama sendiri, malah turut melakukan pelbagai aksi yang boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Dalam operasi ini, seramai 72 individu bersama 65 kenderaan telah diperiksa di mana 57 daripadanya adalah motosikal yang telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut.

"Selain itu, sebanyak 87 keping saman POL. 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sabit kesalahan, denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib sehari sehingga lima tahun.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!