AWAN pandang serius kes wanita cuba terjun Sungai Kelantan
KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) negeri Kelantan memandang serius kejadian cubaan seorang wanita berusia 40-an terjun Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong di sini pada Ahad.
Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, tindakan berkenaan mengejutkan dan menunjukkan ada dalam kalangan masyarakat mempunyai tahap kesihatan mental yang semakin parah.
Menurut beliau, tindakan pantas seorang anggota keselamatan berjaya menyelamatkan wanita tersebut daripada kejadian yang boleh meragut nyawa.
"Ini merupakan kejadian ketiga tahun ini dan yang ke-19 direkodkan sejak 2021 sekali gus menunjukkan keparahan tahap kesihatan mental rakyat di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dr Hafidzah memberitahu, AWAN sebelum ini sudah membuat gesaan supaya kerajaan Kelantan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak menangani masalah kesihatan mental.
Jelasnya, jawatankuasa itu perlu melibatkan jabatan tertentu termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malausia, Polis Diraja Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan usaha kita menangani gejala cubaan bunuh diri.
Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama dan Pengerusi Biro Kesihatan dan Alam Sekitar AWAN Nasional tidak menafikan usaha kerohanian dan spiritual termasuk solat hajat yang perlu dilakukan namun tegasnya usaha perlu lebih daripada itu.
"Petanda dan gejala penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan melampau perlu dikenal pasti lebih awal dan rawatan pakar diperolehi segera bagi mengelakkan gejala parah seperti yang berlaku semalam (Ahad).
"Masyarakat memainkan peranan meningkatkan pengetahuan dan mempromosikan mental yang sihat dalam kehidupan," katanya.
Tambah beliau, pemasangan papan tanda membawa mesej kasih sayang sepanjang jambatan tertentu mesti diusahakan pihak berwajib.
Katanya lagi, talian bantuan seperti Help With Empathy And Love di talian 15555 yang diusahakan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu disebar kepada masyarakat supaya mereka tahu masih ada yang sayang dan mahu mendengar masalah yang dihadapi.
Tular satu video memaparkan seorang wanita cuba terjun ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong pada Ahad namun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di situ ketika kejadian.
Menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit 36 saat di aplikasi WhatsApp, beberapa individu cuba menenangkan wanita berkenaan selepas dipercayai memberhentikan kereta di Jambatan Tendong dan cuba terjun ke Sungai Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!