Cabaran besar Malaysia tingkat kedudukan daya saing negara
SHAH ALAM - Sasaran Ekonomi Madani untuk mengukuhkan daya saing negara ke tangga ke-12 teratas di dunia adalah satu cabaran besar buat Malaysia.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ketika ini Amerika Syarikat berada di tangga ke-12 di dunia manakala kedudukan pertama adalah Singapura.
Menurutnya, sasaran Ekonomi Madani bukan sesuatu yang mustahil memandangkan Malaysia pernah berada di tangga ke-12 pada 2014.
"Namun dalam tempoh 10 tahun daya saing kita telah jatuh merudum, terkini di tangga ke-34. Amat merisaukan dan jelas menuntut tindakan segera yang lebih agresif serta bersungguh-sungguh.
"Mesti ada pasukan yang khusus menilai, menyusun strategi, melaksana, memantau dan melapor secara berterusan. Semua kita, kerajaan, perniagaan serta masyarakat mempunyai peranan untuk meningkatkan daya saing negara," ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah Noor Azlan, antara empat kategori daya saing, hanya segmen prestasi ekonomi yang masih bertahan iaitu di kedudukan kelapan.
Jelasnya, tiga kategori yang lain iaitu kecekapan kerajaan, perniagaan dan infrastruktur termasuk pendidikan masing-masing berada di tangga ke-33, 40 dan 35.
"Semuanya jatuh secara berterusan, tidak boleh dibiar jatuh lagi. Berbanding tahun 2014, 17 dari 20 sub-petunjuk daya saing telah jatuh, 13 dari sub-petunjuk ini kini berada lebih rendah dari tangga ke-30.
"Tiga terendah ialah pendidikan, perundangan perniagaan serta produktiviti dan kecekapan. Sasaran Ekonomi Madani untuk menjadikan Malaysia di kedudukan 12 teratas di dunia adalah sangat penting untuk Malaysia muncul sebagai jaguh Asia," katanya.
Beliau memberitahu, status yang dilaporkan itu bukanlah rumusan untuk Ekonomi Madani.
"Kita masih ada sembilan tahun lagi. Kedudukan daya saing negara yang membimbangkan ini menuntut kita segera bertindak bagi menjayakan Ekonomi Madani, ini misi negara," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!