Empat lelaki ditahan bersama tiga pucuk pistol, peluru

Dua pucuk pistol angin dirampas daripada suspek dalam beberapa serbuan di Sungai Bakap pada Sabtu lalu.
Dua pucuk pistol angin dirampas daripada suspek dalam beberapa serbuan di Sungai Bakap pada Sabtu lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Penahanan empat lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan pada 13 Jun lalu membawa kepada penemuan beberapa senjata api dan peluru dalam serbuan berasingan di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada Sabtu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki di Juru yang kemudiannya membawa penahanan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Hasil siasatan awal dan pemeriksaan polis di sebuah rumah milik salah seorang daripada suspek di Sungai Bakap, kita telah menjumpai dan merampas beberapa barangan iaitu dua pucuk pistol angin berwarna hitam dan perang jenama WE Tactical bersama dua kelopak tanpa peluru.

"Kita juga menjumpai satu kelopak peluru jenama BBLoader, sebotol gas dan sebungkus 'ball bearing' plastik berwarna putih," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Polis turut merampas pistol dan beberapa butir peluru daripada suspek bagi membantu kes pergaduhan yang berlaku pada Jun lalu.
Polis turut merampas pistol dan beberapa butir peluru daripada suspek bagi membantu kes pergaduhan yang berlaku pada Jun lalu.

Tambah beliau, hasil pandu arah oleh suspek ke sebuah pejabat di Kampung Baru Valdor, Sungai Bakap, polis merampas sepucuk pistol jenis Glock buatan Austria berwarna hitam.

"Selain pistol, kita juga merampas kelopak peluru pistol jenis Glock tertera tulisan Austria, peluru tertera tulisan WCC 17, tiga peluru tertera tulisan S&B Auto 45 dan peluru tertera tulisan PMC Auto 45.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih menyiasat dari mana suspek memperoleh senjata api tersebut. Selain itu, kita juga sedang menyiasat sama ada senjata api ini digunakan suspek untuk jenayah lain atau sebaliknya," ujarnya.

Hamzah menambah, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Julai hingga 1 Ogos. Tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

"Sementara seorang lagi suspek berusia 27 tahun disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!