[VIDEO] Suspek kes culik Albertine Leo direman enam hari lagi

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, membenarkan sambungan reman enam hari lagi terhadap seorang suspek bagi kes culik seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, baru-baru ini.

Perintah sambungan reman itu dibenarkan Majistret Noorfazlin Hamdan selepas membenarkan permohonan sambungan reman daripada pegawai penyiasat kes.

Tempoh reman terhadap suspek yang berkuat kuasa mulai esok hingga Ahad ini dimohon bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan ke atas suspek.

Terdahulu, dalam satu kenyataan media, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan pihaknya akan memohon sambungan reman selama tujuh hari terhadap suspek berkenaan.

Suspek berbaju lokap ungu tiba ke mahkamah.
Suspek berbaju lokap ungu tiba ke mahkamah.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak -kanak 2017.

Untuk rekod, suspek berusia 31 tahun itu tiba di mahkamah sekitar jam 8.50 pagi dengan berpakaian lokap warna ungu dan turut digari dengan beberapa suspek bagi kes lain.

Suspek juga merupakan suspek kelima yang ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo, 6, di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, 20 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Suspek ditahan kira-kira jam 4.45 pagi pada 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, ketika polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu di lokasi berkenaan.

Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari yang tamat hari ini (Isnin).

Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman terhadap mereka tidak disambung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!