[VIDEO] Mangsa kebakaran Kampung Manjoi tinggal sehelai sepinggang
IPOH - Jeritan orang ramai dan ketukan pintu bertalu-talu menyelamatkan penghuni deretan rumah di Jalan Tok Sidang dan Lorong Sungai Tapah, Kampung Manjoi di sini pada Ahad daripada kebakaran.
Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu, sebanyak 10 unit kediaman dengan enam daripadanya berpenghuni musnah, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Suri rumah, Aliza Nasir, 54, berkata, menyedari jeritan kuat orang ramai ketika itu menyebabkan dia berlari keluar menyelamatkan diri.
"Waktu kejadian saya hendak ambil wuduk sebelum terdengar orang ketuk pintu sambil menjerit minta keluar kerana api sudah marak.
"Saya tidak sempat ambil apa-apa barangan termasuk dokumen penting terus berlari keluar. Dalam masa beberapa saat, apabila toleh belakang, api sudah mula menyambar bumbung rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Penduduk, Mior Shapie Hamid, 60, berkata, keluarganya mengharapkan sumbangan orang ramai berupa pakaian apabila mereka kini hanya tinggal sehelai sepinggang.
"Ketika kejadian tiada sesiapa pun di rumah, jadi tiada satu pun barangan yang sempat diselamatkan. Inilah satu-satunya pakaian yang saya ada.
"Saya berterima kasih juga kepada orang ramai yang bantu menyelamatkan kereta dan motosikal dengan menolak ke tempat selamat," katanya.
Menurut Mior Shapie, dia tinggal di rumah tersebut sejak 13 tahun lalu dengan menyewa sebanyak RM240 sebulan.
"Malam tadi pun menumpang di rumah saudara sebelah isteri di Silibin.
"Buntu juga memikirkan tempat tinggal kerana saya hanya bekerja kampung, sukar untuk mendapatkan rumah sewa murah ketika ini," katanya.
Sinar Harian melaporkan kesemua 10 unit kediaman itu dianggarkan 90 peratus musnah dan tidak boleh diduduki.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap keluarga yang terlibat yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Difahamkan laporan awal pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!