'Saya dah maafkan dia'
KEMAMAN - "Saya sudah maafkan dia (adik). Walaupun darah daging, rasa terkilan tu tetap ada. Tapi mungkin ada benda yang kita tak tahu tapi ALLAH lebih tahu," kata Mohd Taquddin Ramli, 33, bapa kepada kanak-kanak 3 tahun yang maut ditikam bapa saudaranya sendiri di Felda Cherul 2, Kemaman semalam.
Juruteknik di sebuah kilang di Senai, Johor itu berkata, dia bergegas pulang ke Kemaman sebaik sahaja mendapat tahu kejadian yang menimpa anaknya, Nur Hafiyaaufa.
"Sedih memang tak terkata. Tapi saya kena kuat dan reda. Kita tak minta semua ini tapi ALLAH dah aturkannya. Kalau saya tak kuat, orang lain semua tak kuat.
"Saya baru kehilangan isteri pada hari pertama Ramadan tahun lepas kerana kemalangan. Sekarang kehilangan anak pula. Ujian ALLAH berikan kepada saya, saya kena kuat," katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak tiga tahun maut ditikam bapa saudara
Bunuh anak saudara: Penganggur direman tujuh hari
Mohd Taquddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya, Nur Hafiyaaufa atau panggilan mesranya adik adalah dua hari lalu ketika anaknya datang ke Johor.
Pada malam itu katanya, anaknya kelihatan sangat manja dan mengusap-usap kepala dan janggutnya.
"Masa dia main janggut saya, dia cakap 'adik sayang papa'. Keesokannya bila dia bersiap nak pulang ke Kemaman, dia cakap lagi, 'nanti cuti sekolah, papa balik lagi ya'.
"Masa itu, rasa dah lain macam. Mungkin dia tahu dia dah nak pergi. Dia kecil lagi, tak tahu bagaimana nak luahkan rasanya," katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cherul di sini selepas solat Asar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!