Terengganu belum terima RM367.15 juta baki bayaran royalti petroleum

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri masih belum menerima baki royalti petroleum sebanyak RM367.15 juta daripada keseluruhan RM792.32 juta yang diluluskan kerajaan Pusat sebelum ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga Julai tahun ini sejumlah RM425.17 juta direkodkan sebagai terimaan royalti atau wang ehsan daripada kerajaan Persekutuan itu dalam akaun negeri.

"Hasil perundingan yang dibuat dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini, kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan wang royalti berjumlah RM792.32 juta.

"Sehingga Julai ini, kerajaan negeri masih belum menerima baki bayaran sebanyak RM367.15 juta," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi menjawab soalan Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) mengenai jumlah keseluruhan tuntutan royalti bagi tahun 2024 dan tindakan lanjut bagi memastikan wang tersebut dapat diterima semaksimum mungkin.

Jelas Ahmad Samsuri, berdasarkan anggaran secara keseluruhan, wang royalti yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada lalu dan tahun ini masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berpegang teguh dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan bagi menuntut hak rakyat dan negeri Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang, bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak Terengganu sejak 1978, sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam sidang yang lalu dan di Dewan Rakyat serta termaktub dalam berbagai dokumen rasmi dan kontrak.

"Oleh yang demikian, tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan mengapa Terengganu bergantung kerpada hasil minyak dan gas, sedangkan pada kami, kepada rakyat negeri Terengganu sendiri sama ada mereka suka atau tidak, hasil minyak dan gas ini adalah hak rakyat Terengganu," ujar beliau.

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) mengenai urusan pentadbiran, pembangunan yang dirancang berikutan kekangan kewangan kerajaan negeri. pembangunan yang dirancang berikutan kekangan kewangan kerajaan negeri.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan negeri akan mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada, mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu serta mengukuhkan kewangan dengan mengawal perbelanjaan.

"Untuk mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada, kerajaan negeri mesti menambah baik aspek perundangan dan pelaksanaan kaedah terbaik untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan dan digitalisasi.

"Hasil cukai dan hasil bukan cukai Terengganu mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun seperti digariskan menerusi Ucapan Belanjawan 2024 lalu.

"Usaha ini penting bagi memastikan menjelang 2030 nanti hasil janaan negeri kita mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan hasil berbanding hanya 10 hingga 15 peratus sejak sekian lama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!