Riuh Rewang serlah kreativiti peserta, kualiti makanan tradisional
SHAH ALAM - Program pertandingan memasak, Riuh Rewang yang berlangsung pada Ahad sempena Karnival Rakyat Karangkraf menyaksikan setiap peserta berjaya mengetengahkan menu makanan tradisional yang sedap, unik dan menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, seiring dengan konsep karnival tersebut, kreativiti persembahan dan kualiti rasa sesebuah makanan itu antara kriteria penting yang dilihat oleh barisan juri.
“Kriteria yang kita lihat, paling utamanya adalah rasanya. Rasa masakan itu mesti cukup rempah, perisa dan sebagainya.
“Kedua adalah dari segi persembahan makanan itu sendiri. Macam mana mereka ubah dan mencantikkan makanan itu.
“Di samping itu, apa yang uniknya saya lihat adalah nama menu yang diberikan oleh peserta contohnya Nasi Padang Sua Sue Kemuning dan Kaswi Getaran Jiwa, jadi ia lain dari yang biasa,” katanya selepas program Riuh Rewang yang berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 pada Ahad.
Turut hadir, pempengaruh media sosial dan pelakon Wee Yun Nee, 28, atau lebih dikenali Mek Yun sebagai salah seorang juri tetap.
Sebanyak 10 kumpulan bertanding dalam acara berkenaan iaitu Jalan Bertam 18/8B, Seksyen 18, WI Padang Jawa, Kampungku17, Silat Cekak Hanafi, Ben10 Fams, KRT Bukit Kuda Klang, Seksyen 24 Gembira, Bukit Kuda, SK Jalan Kebun dan U11 Bukit Bandaraya.
Johan bagi pertandingan Riuh Rewang dimenangi oleh Kumpulan SK Jalan Kebun manakala Kampungku17 dan WI Padang Jawa pula masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Ujar Mohamad Khairil, PKPS turut mengumumkan pemberian Anugerah ‘Best Effort’ kepada kumpulan Silat Cekak Hanafi atas usaha dan risiko yang mereka ambil termasuk datang lebih awal serta membuat persembahan.
"Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000. Naib johan pula dapat RM800, diikuti tempat ketiga RM600 dan pemenang saguhati mendapat RM400.
“Namun begitu, semua kumpulan diberikan hadiah berbentuk hamper sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, ini kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Kumpulan Karangkraf dalam menjayakan aktiviti Riuh Rewang sempena Karnival Rakyat Karangkraf.
“Kenapa kita boleh masuk program Riuh Rewang ini sebab kita hendak memperkenalkan nama pertandingan memasak. Di PKPS kita ada mengeluarkan produk-produk Ehsan, seperti minyak masak, makanan, produk sedia dimakan semua kita ada.
“Sebab itu, melalui program ini kita mengetengahkan lagi produk yang kita ada sekali gus mempromosikan produk-produk Ehsan di bawah PKPS,” katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan agar program Karnival Rakyat Karangkraf dapat dijadikan sebagai acara tahunan bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai terhadap nilai warisan dan budaya tradisional di negara ini.
“Harapan untuk mengadakan program ini di masa akan datang memang kita alu-alukan. Maknanya dari pihak Kumpulan Karangkraf sendiri supaya menjadikan program Karnival Rakyat ini sebagai program tahunan,” katanya.
Reaksi
“Keunikan juadah dan kreativiti makanan masing-masing sangat luar biasa. Secara peribadi dari segi makanan, semua memang sedap tetapi sebagai juri, kita kena tahu keseimbangan rasa sesebuah masakan, itu penting. Saya harap saya dapat sertai lagi aktiviti seperti ini pada masa akan datang.” Pempengaruh media sosial, Mek Yun, 28.
“Memang kita gembira kerana selama 57 tahun, saya tidak pernah masuk mana-mana pertandingan memasak. Jadi ini bukan sahaja beri kenangan tetapi juga menaikkan nama sekolah kami. Saya rasa Riuh Rewang ini adalah satu program yang bagus dan patut dikekalkan lagi pada tahun berikutnya.” Ahli kumpulan SK Jalan Kebun, Maziah Shahrome, 57.
“Perasaan gembira itu memang tidak terkira kerana memang tidak sangka kita boleh menang dan ini adalah pengalaman pertama kita bertanding. Pada saya, program Riuh Rewang ini menarik sebab remaja sekarang tidak tahu macam mana tradisi merewang zaman-zaman dahulu. Ini adalah tradisi Melayu kita, jadi ia membangkitkan semangat kita.” Ahli WI Padang Jawa, Norharizah Abdul Rahman, 62
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!