Gesaan letak jawatan timbalan menteri melampau

Dari kiri: Aidi Amin, Rafiza
Dari kiri: Aidi Amin, Rafiza
A
A
A

SHAH ALAM - Gesaan supaya Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu meletakkan jawatan kerana isu sumbangan kepada sebuah sekolah vernakular dilihat melampau dan tidak masuk akal.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, isu membabitkan sebuah sekolah bantuan kerajaan tidak wajar dipolemikkan kerana ianya membabitkan kekhilafan.

Menurutnya, kekhilafan yang melibatkan pemegang taruh dalam insiden ini sedikit sebanyak mewujudkan perbalahan pendapat yang menyentuh sensitiviti bangsa dan agama.

“Meskipun begitu ia bukan menjadi alasan sekolah berkenaan untuk tidak mengikut garis panduan serta kaedah yang betul dalam menerima sumbangan seperti termaktub di dalam surat pekeliling Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang juga bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu Ahli Parlimen Sepang itu meletakkan jawatan.

Ia susulan kehadiran pemimpin itu pada majlis dianjurkan sebuah sekolah vernakular bagi tujuan mengumpul dana persekolahan yang turut membabitkan penajaan daripada syarikat arak.

Aidi Amin berkata, persoalan yang lebih penting apakah peranan sebenar kita dalam sesebuah komuniti yang seperti sudah hilang rasa empati hingga mempolitikkan sesuatu isu walaupun boleh diselesaikan secara berhemah.

Sementara itu, Ketua Wanita Amanah Wilayah Persekutuan, Rafiza Askolani berkata, Aiman atau nama sebenarnya Raj Munni Sabu telah pun mengaku khilaf dan memohon maaf berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Justeru, menurut Rafiza, gesaan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Maszlee Malik agar Ahli Parlimen Sepang itu meletakkan jawatan adalah tidak berasas.

“Tidak perlu nak sarankan sehingga Aiman Atirah letak jawatan. Dia telah pun mohon maaf.

“Fokus pada isu dan kerja-kerja yang lebih utama berbanding memanjangkan perkara seperti ini. Maszlee tak perlu terbawa-bawa dengan permainan pihak lawan yang cuba mengeruhkan lagi isu ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!