Anggota polis dirempuh motosikal lawan arus masih di ICU
SEREMBAN - Anggota polis yang parah selepas bertembung dengan sebuah motosikal melawan arus di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini, awal pagi Ahad masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, anggota terbabit bagaimanapun difahamkan telah menunjukkan tanda positif.
"Daripada laporan perubatan dan apa yang dimaklumkan doktor, anggota ini patah tulang paha kanan dan berlaku pendarahan dalam otak.
"Semalam dia tidak sedarkan diri dan diberi bantuan pernafasan. Kami difahamkan dia ditidurkan sementara bagi memberi ruang otaknya berehat dan sudah selesai menjalani pembedahan pada bahagian paha yang patah," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Beliau memberitahu baru melawat anggota berkenaan yang masih lagi dalam keadaan separa sedar.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan anggota polis trafik Seremban dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer 36 (arah selatan), Lebuhraya Lekas.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu dikatakan sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain, sebelum dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.
Sementara itu, kata Muhammad Zaki, anggota berkenaan mempunyai empat anak berusia empat hingga 11 tahun dengan dua daripadanya menghidap autisme.
Kejadian itu turut menarik perhatian Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang melawat mangsa dan bertemu dengan keluarga anggota berkenaan pada Ahad.
@sinarharianonline Anggota polis dirempuh motosikal lawan arus masih di ICU #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Polis #ICU #LawanArus
Hard News - DM Production
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!