WCIT jadi contoh terbaik kepada negara Islam lain - Jusuf Kalla
IPOH - Usaha kerajaan Perak menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) mendapat pujian bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Beliau yang pertama kali menyertai persidangan tersebut berkata, penganjuran itu menjadi contoh terbaik kepada negara-negara Islam lain dalam mempromosikan dialog intelektual dan pertukaran idea di peringkat global.
Menurutnya, dalam menghadapi cabaran dan konflik dunia, menjadi keperluan umat Islam untuk bersatu dan mengutamakan nilai kemanusiaan sejagat.
"Pertemuan seperti WCIT ini sangat penting dan saya sangat menghargainya.
"Kultus Islami itu harus bukan hanya bicara mengenai fikah, tetapi juga tentang muamalah supaya ada suatu hubungan baik sesama manusia," katanya.
Dalam persidangan itu, Jusuf mengambil bahagian dalam pembentangan sesi Sidang Diraja bersama tiga tokoh pemimpin negara lain iaitu Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Dr Naledi Pandor; George Yeo (bekas Menteri Hal Ehwal Luar Singapura) dan Profesor Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan mengikuti sesi pembentangan tersebut.
Pada sesi tersebut, Jusuf menekankan bahawa ketika ini dunia berdepan dengan pelbagai konflik yang dikaitkan dengan negara Islam termasuklah yang berlaku di Gaza, Libya dan Yemen.
"Hanya tinggal kita negara-negara Islam yang memang masyarakat Islam bersatu untuk mencegah konflik ini dengan lebih membicarakan tentang kemanusiaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!