Tumpu ekonomi masa depan bernilai tinggi untuk jadi Harimau Asia - Rafizi
PUTRAJAYA - Persepsi atau prospek Malaysia sebagai Harimau Ekonomi Asia perlu berlandaskan ekonomi masa depan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, ia berdasarkan minat ditunjukkan dan juga ketersediaan Malaysia dalam sektor ekonomi masa akan datang termasuklah dari segi kemampanan sektor tenaga, pertumbuhan pusat data dan juga potensi untuk meningkatkan skala industri elektronik dan cip.
"Mengambil kira dunia masa akan datang banyak dikendalikan oleh kecerdasan buatan (AI) dan cip, potensi Malaysia itu memang ada" katanya selepas Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (BE 2023) di sini pada Isnin.
Ujar Rafizi, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti penciptaan dan reka bentuk cip untuk berada sebaris dengan Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
"Kalau tengok dalam banci ekonomi, macam saya sebut syarikat yang mereka bentuk cip di Malaysia boleh kira dengan jari," katanya.
Jelasnya, Malaysia dijangka menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi bermula tahun 2027 sekiranya ekonomi negara terus tumbuh pada kadar empat hingga lima peratus setiap tahun.
"Contohnya mata wang yang mengukuh sekitar RM4.20 bagi AS$1 beberapa tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai petunjuk Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.
Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau juga telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan penganalisis, mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.
Ditanya mengenai sasaran untuk Malaysia bangkit kembali sebagai Harimau Ekonomi Asia, beliau berkata ia akan diperincikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Sebenarnya tidak ada definisi Harimau Asia ini apa. Kalau tanya sasaran, ini lebih mudah tanya memang ada piawaian antarabangsa.
"Kalau contohnya negara berpendapatan tinggi yang di samakan negara maju. Piawai itu ada yang dikeluarkan Bank Dunia setiap dua tahun.
"Jadi soal harimau tak harimau, dia ada piawaian tetapi pelabur melihat kepada potensi masa depan.
"Malaysia berpotensi untuk tumbuh dengan baik, kemudian berada dalam sektor masa depan.
"Sebab itu kita dilihat negara berpotensi jadi harimaulah, kalau kita jadi kucing itu, salah kita nanti," katanya sambil menambah penemuan BE 2023 akan menjadi kayu pengukur di dalam RMK-13 yang dirangkakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!