244 premis didapati ada elemen pencatutan harga - Fuziah

Fuziah pada Persidangan Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama
Fuziah pada Persidangan Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati sebanyak 244 daripada 21,038 premis yang diperiksa sejak Ops Kesan 2.0 dilancarkan pada 8 Jun lepas didapati mempunyai elemen pencatutan harga.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, notis bertulis kepada premis terlibat sudah dikeluarkan.

"Notis bertulis ini seperti surat tunjuk sebab dan mereka perlu nyatakan maklumat seperti jumlah kos pengangkutan, pengeluaran dan sebagainya.

"Sekiranya ada elemen pencatutan, kertas siasatan akan dibuka dan jika didapati bersalah, mereka akan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu tindakan KPDN terhadap premis yang menjual barangan pada harga luar biasa.

Ops Kesan 2.0 bertujuan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang keterlaluan susulan pengumuman kerajaan berhubung pelarasan harga runcit diesel.

Sementara itu, menjawab soalan Hussin Ismail yang ingin tahu mengenai subsidi diesel terhadap kelompok kenderaan pertanian yang menggunakan diesel, Fuziah berkata, pihak terbabit boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan subsidi diesel kepada Jawatankuasa Rayuan yang dikendalikan Kementerian Kewangan (MOF).

"Setakat ini, pengorek kaut tidak termasuk dalam 23 kategori yang mendapat susidi diesel sebab mereka memberikan servis dan bukan membawa barangan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka boleh membawa usul memorandum ajak libat urus dengan kementerian terlibat sebab kami di KPDN melaksanakannya dan ada juga saya terima rayuan yang dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka," katanya.

Fuziah berkata, KPDN mengenal pasti empat syarikat binaan yang disyaki membekalkan barangan pada harga tinggi dan syarikat terlibat telah dipanggil ke ibu pejabat KPDN untuk memberikan penjelasan.

Beliau menjawab soalan Hussin yang ingin tahu langkah diambil KPDN bagi menangani inflasi dan kesan berganda kenaikan harga barang keperluan serta bahan binaan susulan pelarasan subsidi diesel. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!