Kuala Terengganu paling ramai ibu tunggal

Maliaman
Maliaman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daerah Kuala Terengganu mencatatkan paling ramai bilangan ibu tunggal di negeri itu dengan rekod seramai 4,409 orang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, statistik itu berdasarkan rekod Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Menurutnya, secara keseluruhan terdapat seramai 30,377 ibu tunggal di seluruh negeri itu sehingga Januari tahun ini.

Selain daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus mempunyai seramai 4,042 ibu tunggal diikuti Marang (3,872), Besut (3,801), Hulu Terengganu (3,687), Kemaman (3,675), Dungun (3,488) dan Setiu (3,403).

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sentiasa menjaga kebajikan golongan ini dengan menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan.

"Selain latihan kemahiran, YPK juga menganjurkan program bimbingan keluarga tunggal untuk pengurusan emosi agar ibu tunggal mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Dalam soalan tersebut, Riduan meminta statistik terkini ibu tunggal dan program latihan bagi golongan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Maliaman, ibu tunggal disaran mengamalkan gaya hidup sihat dan positif melalui aktiviti komuniti.

Katanya, YPK juga turut menganjurkan seminar perundangan kepada golongan itu bagi meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan hak dan tuntutan yang boleh dibuat di mahkamah.

"Aspek kecemerlangan anak-anak ibu tunggal juga kita ambil berat dengan memberi teknik pembelajaran terkini kepada anak mereka terutama yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Antara bengkel latihan dan kemahiran yang disediakan YPK untuk ibu tunggal pula ialah bekam, urutan, produk sejuk beku, jahitan, pastri dan kek serta perniagaan secara digital," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!