Tang Jie-Ee Wei kejutkan beregu nombor dua dunia

Ee Wei (kanan) dan Tang Jie meraikan kejayaan menewaskan pasangan China dalam aksi terakhir kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Isnin. Foto AFP
Ee Wei (kanan) dan Tang Jie meraikan kejayaan menewaskan pasangan China dalam aksi terakhir kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan momentum positif apabila muncul juara Kumpulan D Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan negara memperagakan aksi bertenaga untuk mengejutkan beregu nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Pasangan negara yang berstatus kesembilan dunia tewas pada set pertama 17-21, namun bangkit mengikat kedudukan 21-15 dalam aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.

Momentum positif kemudian diteruskan pada set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 70 minit permainan.

Ee Wei menyifatkan aksi tersebut sebagai sengit, namun dia dan Tang Jie enggan mengalah sebaliknya terus mempamerkan semangat melawan.

"Di pentas Olimpik apa sahaja boleh berlaku dan mereka sangat kuat. Saya enggan fikir terlalu jauh, tapi hanya mahu fokus kepada permainan.

"Kami juga mahu berehat secukupnya dan bersedia untuk berdepan siapa sahaja dalam aksi suku akhir," katanya.

Menerusi kemenangan itu membolehkan kedua-dua pasangan mengikat rekod kemenangan kepada 2-2.

Artikel Berkaitan:

Tan Jie pula menyifatkan para peminat melihat dia sebagai pemain yang beremosi, namun rakan sepasukan lebih memahaminya yang merupakan seorang yang amat bersemangat.

"Saya nampak beremosi, namun tidak. Saya sebenarnya lebih bersemangat di gelanggang.

"Saya juga tidak mahu banyak fikir, ingin rehat dan akan berbincang dengan jurulatih untuk aksi seterusnya," katanya.

Tang Jie-Ee Wei sebelum ini melakar dua kemenangan selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22 pada Ahad.

Dalam aksi pertama pada Sabtu, pasangan negara mengalahkan beregu Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12.

Undian untuk saingan suku akhir akan diadakan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan.

Sebagai juara kumpulan, akan meletakkan Tan Jie-Ee Wei sebagai pilihan sekali gus boleh mengelak berdepan gandingan utama lain dalam aksi lapan terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!