Banci Ekonomi 2023: Lebih 1.09 juta pertubuhan beroperasi

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2024 di Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2024 di Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Banci Ekonomi 2023 menunjukkan terdapat 1,091,867 pertubuhan yang beroperasi pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan 2.5 peratus.

Ia berbanding banci terdahulu yang dijalankan pada 2016 bagi tahun rujukan 2015 dengan sebanyak 920,630 pertubuhan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sejumlah 951,862 pertubuhan atau 87.2 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan sektor pembinaan (71,062 pertubuhan) dan sektor pembuatan (54,505 pertubuhan).

"Sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian kedua-duanya menyumbang selebihnya, masing-masing dengan 12,998 pertubuhan (sumbangan 1.2 peratus) dan 1,440 (sumbangan 0.1 peratus)," katanya ketika sidang akhbar Penemuan Banci Ekonomi 2023 di sini pada Isnin.

Menurutnya, nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3,851.8 bilion pada 2022, meningkat 6.4 peratus setiap tahun.

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan yang kukuh bagi sektor Pembuatan dengan 7.5 peratus, mencatatkan RM1,893.7 bilion berbanding RM1,142.0 bilion pada tahun 2015 dan didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah & plastik.

"Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan, yang meningkat 5.7 peratus kepada RM1,426.6 bilion dan sektor perlombongan dan pengkuarian (RM204.1 bilion)," jelas Mohd Uzir.

Ujar beliau, seiring dengan peningkatan output kasar, input perantaraan bagi keseluruhan sektor ekonomi meningkat sebanyak 6.5 peratus secara tahunan kepada RM2,349.2 bilion berbanding RM1,507.6 bilion pada 2015.

Artikel Berkaitan:

"Kenaikan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pembuatan dengan kadar pertumbuhan tahunan 7.6 peratus (RM1,478.8 bilion), diikuti dengan sektor perkhidmatan (RM647.2 bilion) dan sektor pembinaan (RM139.3 bilion)," katanya.

Menurutnya, nilai ditambah turut meningkat 6.2 peratus kepada RM1,502.6 bilion pada 2022.

"Sektor perkhidmatan dengan sumbangan 51.9 peratus atau bersamaan dengan RM779.4 bilion, merupakan penggerak utama dalam ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan tahunan 6.0 peratus," katanya.

Tambah beliau, sektor pembuatan di kedudukan kedua dengan sumbangan 27.6 peratus (RM414.9 bilion), tumbuh sebanyak 7.1 peratus setiap tahun.

"Sektor pelombongan dan pengkuarian merekodkan pengembangan sebanyak 7.0 peratus kepada RM165.0 bilion," katanya.

Menyentuh mengenai jumlah bilangan pekerja, beliau berkata, terdapat peningkatan 1.8 peratus untuk keseluruhan sektor dengan 10.0 juta orang pekerja pada 2022 berbanding 8.9 juta pekerta pada tahun 2015.

"Mewakili lebih separuh daripada jumlah pekerja pada tahun 2022, sektor perkhidmatan mencatatkan pertambahan sebanyak 2.8 peratus dengan sejumlah 5.8 juta orang," ujar beliau.

Tambahan pula, kata Mohd Uzir, sektor pembuatan merekodkan 2.3 juta orang dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5 peratus.

Sebaliknya, bilangan pekerja menurun bagi sektor pertanian, pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian.

Pada masa yang sama, jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 5.4 peratus setiap tahun, berjumlah RM354.9 bilion pada 2022.

"Peningkatan tertinggi direkodkan oleh sektor perkhidmatan pada 6.5 peratus kepada RM204.4 bilion disusuli dengan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM97.2 bilion.

"Oleh yang demikian, purata gaji dan upah bagi keseluruhan sektor adalah RM3,332 pada 2022," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!