Lebih banyak peraturan tangani maklumat bahaya di media sosial - PM

Anwar ketika berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Isnin.
Anwar ketika berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan akan memperkenalkan lebih banyak peraturan bagi menangani penyebaran maklumat bahaya yang kian berleluasa di media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebagai usaha mengekang masalah berkaitan isu lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial.

"Masalah dihadapi ketika ini, apabila kerajaan cuba perkenalkan beberapa langkah sekatan yang tidak popular, mereka yang yakin terhadap kebebasan, dengan tiada kawalan mengekspresi pandangan tanpa mengambil kira impak kepada masyarakat.

"Walaupun mereka mengabaikan hakikat bahawa ada kaum wanita mengambil keputusan, terpaksa atau terdesak untuk melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan sesuatu pencabulan (buli siber)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari tahun depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilapor berkata, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Penguatkuasaan itu selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!