Hakim Mahkamah Syariah perlu tegas adili kes, tanpa berlengah atau pilih kasih
TAIPING - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah para hakim Mahkamah Syariah hendaklah memiliki iltizam, keberanian, ketegasan mengadili kes-kes dengan penuh berintegriti, tanpa kelengahan, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih.
Titah baginda, langkah sedemikian adalah supaya tidak mencalarkan kepercayaan masyarakat terhadap mahkamah.
"Para hakim diamanahkan tanggungjawab untuk mentafsir undang-undang. Kebebasan badan kehakiman mentafsir undang-undang turut dimiliki oleh Mahkamah Syariah.
"Paduka ayahanda beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam artikel bertajuk 'Supremacy of the Law', in Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance (2004) menulis kenyataan berikut:
"Dalam perkara berkaitan badan kehakiman, persepsi awam terhadap badan kehakiman sangatlah penting. Badan kehakiman kehilangan nilai dan perkhidmatannya kepada masyarakat, jika tidak ada keyakinan orang ramai terhadap keputusan yang dilakukan oleh mahkamah," titah baginda pada majlis perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Taiping di sini pada Isnin.
Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.
Sultan Nazrin bertitah, kemuliaan mahkamah bergantung pada pelbagai pemegang watak.
"Di samping para hakim dan pendakwa, peguam bela, saksi, pegawai yang menyediakan bukti dan bahan siasatan, setiap seorang daripada mereka hendaklah bersikap saling membantu ke arah membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan serta mengutamakan kes-kes dapat diselesaikan tanpa berlengah.
"Keadilan yang sejati akan dapat diserlahkan jika pelbagai watak yang muncul di mahkamah menghayati semangat dan mengamalkan falsafah kerja yang mengutamakan fakta dan kebenaran berasaskan keinsafan dan kesedaran bahawa ALLAH SWT Maha Mengetahui," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, undang-undang yang digubal bersifat dinamik dan bertenaga supaya kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan semasa, situasi semasa, cabaran semasa, kemajuan dan teknologi semasa.
"Untuk meningkatkan kualiti sistem perundangan dan kehakiman syariah di negeri Perak, amatlah penting dilakukan kajian, mengenal pasti klausa-klausa dalam enakmen yang tidak lagi relevan atau didapati kurang sesuai dengan perkembangan semasa.
"Klausa-klausa dan peraturan-peraturan sedia ada yang dilihat boleh menghalang, melewatkan dan menggelincirkan proses keadilan, merangkumi kaedah penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan, perlu dimusyawarah untuk dilakukan pindaan dan penambahbaikan," titah baginda.
Baginda bertitah, prinsip kedaulatan undang-undang yang diterapkan sebagai Rukun Negara keempat, meletakkan undang-undang berada di kedudukan yang tinggi.
"Tiada kerajaan, tiada organisasi, tiada institusi atau orang perseorangan yang kebal boleh melakukan sekehendak hati, mengatasi undang-undang yang telah ditetapkan dan memiliki keabsahan dan legitimasi," titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan.
Menurut baginda, teknologi digital perlu dimanfaatkan bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan syariah.
"Teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran Internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah.
"Kemudahan sistem teknologi perbicaraan seperti sistem kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan yang sudah diguna pakai di Mahkamah Sivil hendaklah turut diguna pakai di Mahkamah Syariah.
"Untuk itu, beta menyeru kepada kerajaan beta mempertimbangkan peruntukan dalam belanjawan negeri pada tahun 2025, membolehkan Mahkamah Syariah di Perak dilengkapi dengan kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan agar dilihat tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, penggunaan peralatan teknologi terkini menjadikan norma kerja di Mahkamah Syariah dapat dihijrahkan kepada norma baharu yang lebih cekap dan lebih produktif.
Jelas baginda, ia dapat membantu para hakim dan pegawai mahkamah lebih berfokus, lantas berupaya membuat penghakiman secara lebih cekap.
Mahkamah Rendah Syariah Taiping mula beroperasi pada 1 Mei 1995 di Bangunan Istana Larut, Jalan Istana Larut di sini meliputi bidang kuasa dalam Daerah Larut Matang Selama dan Kerian
Dibina di atas tapak seluas satu hektar, projek bernilai kira-kira RM18.5 juta ini mula dibangunkan pada 11 November 2015 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya pada 15 Disember 2020 dan telah beroperasi secara rasmi sejak 1 Mac 2021.
Ia merupakan bangunan Mahkamah Syariah kelapan yang dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Kehakiman Syariah Perak yang dilihat sebagai pelengkap kepada rangkaian Mahkamah Syariah di daerah-daerah utama termasuk Ipoh, Tapah, Seri Manjung, Seri Iskandar, Parit Buntar, Kuala Kangsar dan Gerik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!