Bapa sedih anak maut kereta terjunam dalam sungai

Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa. Foto media sosial
Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa. Foto media sosial
A
A
A

TUMPAT - Luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anaknya maut selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam sungai dekat Kampung Telok Jering, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari Isnin.

Abdul Aziz Che Hak 60-an berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya Che Azizi Shah, 32, itu selepas dimaklumkan oleh kenalannya, sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika anaknya ingin pulang ke rumah yang terletak di Kampung Cherang Melintang, selepas memancing bersama rakannya di Kuala Jambu.

"Anak saya menghidap penyakit asma sejak kecil dan memerlukan pam lelah hampir setiap hari. Saya mengetahui arwah pergi memancing menggunakan kereta Pajero milik saya, namun tidak pasti dia keluar dari rumah pada pukul berapa.

"Saya reda dengan apa yang terjadi dan berharap segala urusan dapat diselesaikan secepat mungkin agar jenazah dapat dikebumikan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Teluk Jering.

Sementara itu, saksi kejadian Nazma Abdul Rahman, 39, pula berkata, ketika kejadian dia sedang membuat persiapan untuk membuka warung miliknya, yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Saya lihat kereta berkenaan dipandu pada kelajuan biasa, sebelum tiba-tiba terdengar dentuman yang agak kuat dan terkejut melihat kereta itu melanggar jambatan lalu terjatuh ke dalam sungai.

"Anak saudara saya, Ayman Afnan Zamri, 24, yang berada dilokasi cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam sungai, namun tidak berjaya disebabkan pintu kereta berkunci,” katanya yang menambah beberapa penduduk turut membantu membawa mangsa naik ke darat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Mohd Khairi berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut tampil membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp video berdurasi 40 saat mengenai sebuah kereta terjunam ke dalam sungai selepas melanggar penghadang besi jambatan di Kampung Telok Jering. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!