Israel 'cakap besar' ancam Hizbullah

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas serangan dilancarkan Israel di sempadan perkampungan Chihine di Lubnan pada Ahad. Foto AFP
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas serangan dilancarkan Israel di sempadan perkampungan Chihine di Lubnan pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Pejuang Hizbullah telah memindahkan kedudukan mereka di selatan dan timur Lubnan selepas Israel mengancam untuk bertindak balas terhadap serangan di Bukit Golan pada akhir minggu lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan sumber rapat gerakan tersebut pada Ahad setelah Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dengan angkuh menyatakan mereka bersedia 'membinasakan musuh', sekali gus meningkatkan kebimbangan jika konflik lebih dahsyat tercetus di rantau Asia Barat.

“Hizbullah telah meninggalkan beberapa lokasi termasuk di Lembah Bekaa yang berpotensi menjadi sasaran rejim Zionis,” ujar sumber tersebut.

Difahamkan, Hizbullah menempatkan 'markas' mereka di timur Lembah Bekaa yang bersempadan Syria dan selatan Lubnan di mana serangan sebagai sokongan kepada Hamas turut dilancarkan ke atas kedudukan Israel sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Damsyik (SOHR) juga mengesahkan kumpulan pro-Iran dan pejuang yang bersekutu dengan Hizbullah telah berundur daripada 'lokasi panas'.

“Pejuang Hizbullah di Syria telah berpindah selepas Israel mula melancarkan serangan ganas sejak awal Jun lalu,” jelas badan yang berpusat di Britain itu.

Tel Aviv menuding jari menyalahkan Hizbullah melancarkan roket Falaq-1 buatan Iran ke atas bandar Majdal Shams hingga meragut 12 nyawa, namun kumpulan pejuang disokong Teheran itu menegaskan mereka tiada kaitan dengan insiden itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Middle East Airlines memberitahu ia terpaksa menjadualkan semula beberapa penerbangan manakala Lufthansa berpusat di Jerman mengumumkan ia menggantung perkhidmatan ke Beirut sehingga 5 Ogos ini kerana khuatir dengan situasi yang semakin tegang di rantau tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir lapangan terbang di Beirut dibedil adalah ketika konflik tercetus bersama Hizbullah pada 2006. - AFP

Info

> Sejak Oktober lalu, serangan rentas sempadan Tel Aviv-Beirut telah meragut sekurang-kurangnya 527 nyawa termasuk 104 orang awam di Lubnan.

> Seramai 25 pejuang Hizbullah gugur syahid dalam serangan dilancarkan rejim Zionis di Syria sejak Perang Gaza tercetus lebih 10 bulan lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!