HoSZA universiti pertama di Pantai Timur guna Digital Laparoscopic Suite
KUALA NERUS - Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang menggunakan Digital Laparoscopic Suite bagi tujuan pembedahan laparoskopi.
Pakar bedah kolorektal HoSZA, Dr Ahmad Fardi Sulaiman berkata, kaedah tersebut mempunyai pelbagai kelebihan berbanding pembedahan secara konvensional termasuk mengurangkan tahap kesakitan pascapembedahan, kos yang lebih efektif dan kadar penyembuhan pesakit lebih cepat.
"Kaedah ini dapat membantu mengecilkan luka dan kebanyakan pesakit dapat bangun dari katil dan berjalan lebih cepat.
"Pesakit juga mengalami tahap kesakitan pascapembedahan lebih rendah berbanding pembedahan bukaan besar (laparotomi)," katanya selepas melakukan pembedahan Digital Laparoscopic Suite di HoSZA pada Isnin.
Selain itu, Dr Ahmad Fardi berkata, Digital Laparoscopic Suite juga diguna pakai untuk tujuan pembelajaran pelajar perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Beliau berkata, kaedah itu juga membolehkan pembedahan dibuat secara langsung dan disiarkan secara langsung di bilik seminar, auditorium dan platform siaran maya seperti Google Meet serta Webex.
"Kaedah ini membantu doktor dan pelajar di UniSZA melihat lebih dekat apa dan bagaimana pakar melakukan pembedahan tanpa mereka berada di dalam dewan pembedahan," katanya.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Fardi berkata, sebanyak 371 kes kanser kolorektal direkodkan di Terengganu dari 2018 hingga 2022.
Beliau berkata, daripada jumlah itu 146 pesakit datang ke hospital dalam keadaan yang memerlukan pembedahan segera.
"Lebih buruk sebanyak 218 kes baharu kanser kolorektal direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini. Ia menunjukkan perkembangan tidak baik dan beban kesihatan yang ketara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!