Polis cari remaja 14 tahun pandu kereta bawa dua adik

Polis menyiasat kes sebuah kereta yang dipandu remaja lelaki dengan membawa dua kanak-kanak di kawasan perumahan.
Polis menyiasat kes sebuah kereta yang dipandu remaja lelaki dengan membawa dua kanak-kanak di kawasan perumahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menyiasat rakaman video tular seorang remaja lelaki memandu kereta dengan membawa dua kanak-kanak di sebuah kawasan taman perumahan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semakan laporan sedang dibuat dengan semua ketua trafik kontinjen negeri.

"Kita sedang kenal pasti lokasi kejadian selain akan kesan keluarga kanak-kanak terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

Pada Isnin, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 49 saat, memaparkan kejadian di waktu malam itu.

Berdasarkan rakaman itu, seorang wanita telah menahan kereta jenis Perodua Viva dipandu remaja lelaki yang didakwa berusia 14 tahun.

Dalam rakaman awal itu, kereta dipandu remaja itu agak laju ketika melalui bonggol di hadapan sebuah rumah sebelum ditahan wanita terbabit agar memberhentikan kenderaan itu.

Ketika ditahan wanita itu, remaja lelaki yang memandu kereta itu turut membawa dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dipercayai adiknya berusia dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Awak tahu tak tindakan memandu tanpa lesen salah, saya rakam (video) dan kemudian nak pergi balai polis untuk buat laporan.

“Sudah banyak kali nampak awak buat kereta laju dalam kawasan taman (perumahan) di sini banyak budak-budak, tak boleh pandu laju macam tu,” tegas wanita itu.

Remaja lelaki itu mengakui kesalahannya namun meminta wanita itu berjumpa dengan ayahnya selepas ditegur kerana turut sama membawa adiknya yang masih kecil.

Video berkenaan mendapat lebih 400,000 tontonan dan telah dikongsi sebanyak 4,600 kali oleh pengguna Facebook.

Sementara itu di ruangan komen orang ramai menyatakan kebimbangan terhadap perbuatan remaja itu memandu kereta ibu bapanya tanpa lesen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!