1,002 wanita bertelepuk cipta rekod Malaysia Book Of Records

Seramai 1,002 wanita hadir ke Perpatih Fest 2024 dengan memakai telepuk.
Seramai 1,002 wanita hadir ke Perpatih Fest 2024 dengan memakai telepuk.
A
A
A

NILAI - Program Perpatih Fest 2024 mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records apabila berjaya mengumpulkan wanita memakai telepuk paling ramai setakat ini.

Pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun itu, seramai 1,002 wanita termasuk pelajar sekolah hadir dengan berbaju kurung sambil diserikan dengan pemakaian telepuk.

Telepuk ialah sejenis tengkolok wanita berupa ikatan kain di kepala yang biasanya dipakai oleh wanita Negeri Sembilan suatu masa dahulu dan kini dilihat sebagai salah satu pakaian rasmi bagi Ibu Soko.

Wanita-wanita kelihatan manis berbaju kurung sambil memakai telepuk.
Wanita-wanita kelihatan manis berbaju kurung sambil memakai telepuk.

Seorang pelajar, Nur Umaira Iman Halim, 19, berkata, dia teruja melihat kehadiran wanita ke program terbabit dengan berpakaian tradisional seumpama itu yang jarang dapat dilihat.

"Biasa tengok wanita pakai macam itu dalam drama-drama lama. Tapi saya tak pernah tahu pula namanya telepuk," katanya.

Tahun lalu, program terbabit telah mencipta rekod melalui masakan kari kepala kambing terbanyak dan pantar serta jambar terbanyak.

Artikel Berkaitan:

Para pelajar memakai telepuk yang dibuat menggunakan kain batik.
Para pelajar memakai telepuk yang dibuat menggunakan kain batik.

Sementara itu, Aminuddin ketika berucap pada majlis berharap agar generasi muda dilibatkan bersama-sama dalam setiap program yang dijalankan oleh Luak dan Wilayah Adat.

"Ia agar dapat mendekatkan lagi diri mereka dengan adat perpatih dan harus kita ingat bersama-sama bahawa generasi bukan sahaja mewarisi teraju kepimpinan negeri ini pada masa hadapan tetapi juga sebagai pewaris adat perpatih.

"Langkah ini adalah sebagai persediaan awal untuk memastikan adat ini terus hidup subur di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!