Malaysia bangunkan pelabuhan 'home port' tarik kedatangan kapal persiaran
PUTRAJAYA - Pembangunan dan penambahbaikan pelabuhan akan dilakukan ke arah usaha menjadikan negara ini sebagai 'home port'.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kapal Persiaran Malaysia yang dipengerusikan bersama Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurutnya, dengan adanya 'home port' (pelabuhan di mana kapal kembali selepas melancong atau menghantar barang) ia bakal memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi apabila mampu menarik lebih banyak kapal persiaran.
"Sekarang ini kebanyakan kapal persiaran hanya datang ke pelabuhan kita untuk beberapa jam tetapi kalau kita galakkan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai 'home port' maka sudah tentu lebih banyak limpahan ekonomi," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Isnin.
Beliau berkata, terdapat potensi besar terhadap ekonomi negara di dalam sektor tersebut kerana tahun lalu negara merekodkan kedatangan 1,055 kapal persiaran yang membawa 1.5 juta pelancong.
"Ini satu peningkatan yang agak ketara berbanding tahun sebelum Covid-19," jelasnya.
Ujar Anthony, mesyuarat juga memutuskan satu jawatankuasa teknikal yang akan dipengerusikan oleh
MOT dan MOTAC untuk memfokuskan beberapa perkara termasuk memudahkan pertumbuhan industri tersebut.
"Yang paling penting ialah kita juga cuba memudah cara dan memperkemas urusan Kastam serta Imigresen bagi melancarkan pergerakan penumpang kapal persiaran.
"Setiap kapal membawa ribuan penumpang jadi untuk melancarkan pergerakan, kita sedang melihat sama ada boleh untuk mewujudkan sistem agar urusan Imigresen dapat dilakukan lebih awal," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri perlu mengambil peluang untuk turut bersama mempromosikan pelabuhan sebagai lokasi persinggahan kapal persiaran.
"Kita menggalakkan setiap kerajaan negeri yang ada potensi untuk menerima kapal persiaran ini untuk juga bersama- sama mempromosikan kawasan masing-masing kerana yang paling penting destinasi perlu dipromosikan kepada pelancong asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!