Jualan Madani Koperasi Usahawan rekod RM6.2 juta

Ewon Benedick (dua dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin. Foto Bernama
Ewon Benedick (dua dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jualan Madani Koperasi Usahawan (JMKU) merekodkan nilai jualan sebanyak RM6.2 juta dengan melibatkan 208,055 penerima manfaat di seluruh negara setakat semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 63 program JMKU telah dilaksanakan menerusi jualan barangan keperluan asas oleh 221 operator jualan yang dilantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Kementerian akan meneruskan program JMKU sebagai usaha menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, daging lembu, daging ayam dan sebagainya, dengan tawaran penjimatan harga hingga 20 peratus berbanding harga pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Terdahulu, Ewon menyampaikan anugerah kepada Koperasi Keluarga Tok Nor Mekong Jusoh Machang Berhad bagi kategori Anugerah Koperasi Harapan serta menyerahkan masing-masing enam replika cek Bantuan Pembangunan SKM dan Pinjaman Tabung Modal Pusingan SKM berjumlah RM835,325 dan RM15.4 juta.

Ewon berkata, seluruh gerakan koperasi telah berjaya menyumbang perolehan sebanyak RM64.6 bilion sekali gus melepasi sasaran dasar yang ditetapkan oleh kementerian sebanyak RM60 bilion bagi 2025.

"Pada masa sama, kejayaan gerakan koperasi yang menceburi pelbagai bidang sektor ekonomi telah berjaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM17.4 bilion, dengan penjanaan aset bernilai RM165.9 bilion.

"... ini suatu pencapaian yang membanggakan dan saya pasti menjadi semangat kepada gerakan koperasi di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program Bantuan Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) pula dapat membantu mengurangkan harga barangan runcit serta jurang antara pembekal, pengeluar dan pengguna dengan mengurangkan penglibatan orang tengah.

"Pihak kementerian akan terus memperkasakan kedai koperasi (Coopmart) agar lebih menarik dan menyediakan pelbagai pilihan kepada pengguna yang akan diusahakan oleh pelbagai koperasi terutamanya di kawasan luar bandar serta kawasan yang majoritinya merupakan penduduk dalam kalangan golongan B40," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!