Ringgit teruskan momentum mengukuh, ditutup pada paras 4.63

Pada jam 6 petang ini, ringgit melonjak sebanyak 200 mata asas kepada 4.6350/6375 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605 yang dicaratkan pada minggu lepas. Foto hiasan
Pada jam 6 petang ini, ringgit melonjak sebanyak 200 mata asas kepada 4.6350/6375 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605 yang dicaratkan pada minggu lepas. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mengakhiri urus niaga di paras 4.63 pada Isnin.

Mata wang tempatan itu juga mencatat prestasi paling baik di peringkat pasaran Asia, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang ini, ringgit melonjak sebanyak 200 mata asas kepada 4.6350/6375 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605 yang dicaratkan pada minggu lepas.

Di peringkat pasaran Asia, ringgit mengukuh sebanyak 0.46 peratus berbanding dolar AS, diikuti oleh won Korea Selatan (0.10 peratus) dan rupiah Indonesia (0.06 peratus).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mencatat prestasi baik berbanding dolar AS ketika pasaran telah menerima sepenuhnya potensi AS menurunkan kadar faedahnya.

"Bersandarkan masa depan kadar faedah, kemungkinan untuk kadar faedah utama diturunkan pada September ini telah mencecah 107.4 peratus, sekali gus mencadangkan penurunan itu hampir pasti berdasarkan unjuran pasaran,” katanya kepada Bernama.

Ringgit mencecah paras tertinggi RM4.6298 berbanding dolar AS pada tengah hari ini sebelum susut kepada RM4.6350.

Artikel Berkaitan:

Mohd Afzanizam juga menyifatkan paras sokongan kini pada RM4.6140.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama apabila meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9472/9504 daripada 5.9901/9971 pada Jumaat (26 Julai), naik berbanding euro kepada 5.0225/0252 daripada 5.0530/0590 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0158/0176 berbanding 3.0176/0214 sebelum ini.

Malah, berbanding mata wang ASEAN, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 284.6/284.9 daripada 285.5/286.0 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4499/4521 daripada 3.4641/4684.

Ringgit juga meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.92/7.93 daripada 7.97/7.99 sebelum ini dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8947/9063 daripada 12.9069/9268 sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!