Terengganu sedia kerusi khas untuk penyokong wanita

Penyokong wanita dan berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di SSMZA di Gong Badak, Kuala Nerus akan disediakan tempat duduk khas.
Penyokong wanita dan berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di SSMZA di Gong Badak, Kuala Nerus akan disediakan tempat duduk khas.
A
A
A

KERAJAAN Terengganu akan menyediakan tempat duduk khas penyokong wanita dan individu berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tempat duduk khas itu akan mula digunakan pada perlawanan Liga Super antara Terengganu FC (TFC) menentang Negeri Sembilan FC malam Selasa.

Menurutnya, ia disediakan bagi mengelak isu berbangkit mengenai pencampuran antara penonton lelaki dan wanita ketika aksi perlawanan separuh akhir Piala FA yang menyaksikan TFC menentang Selangor FC sebelum ini.

"Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen bagi menyediakan kawasan khas untuk penonton wanita dan keluarga.

"Pintu khas akan diperkenalkan oleh pihak pengurusan stadium. Maklumat ini akan dihebahkan oleh pihak stadium dan TFC dalam tempoh terdekat," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, usaha memperkenalkan kawasan khas itu merupakan inisiatif untuk keselesaan golongan tersebut.

Jelas beliau, disebabkan stadium tersebut terbuka, penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk dan berharap tempat duduk disediakan itu menjadi pilihan golongan tersebut.

"Sokongan daripada kaum wanita dan keluarga akan menyemarakkan lagi usaha kita bersama untuk memperkasakan tuntutan syariat agama.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga harap agar usaha ini akan meminimumkan percampuran antara lelaki dan wanita ketika menonton perlawanan bola sepak.

"Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan TFC," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!