Andalusia mahu dekati komuniti, santuni pelbagai golongan
Syarikat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) berhasrat untuk mendekati lebih ramai komuniti setempat dengan mengadakan kerjasama dengan syarikat korporat mahupun pihak yang menganjurkan karnival atau pameran perniagaan di masa akan datang.
Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, penyertaan syarikat itu dalam Karnival Rakyat Karangkraf telah membuka lebih banyak peluang kepada pasukannya menyantuni bakal pelanggan.
“Sebelum ini kami banyak buat program atau pameran di masjid-masjid, jadi penyampaian itu hanya kepada mereka yang hadir ke masjid sahaja.
“Menerusi aktiviti seperti ini, kami lebih dekat dengan bakal pelanggan dan pengunjung yang hadir kerana mereka boleh terus tanya apa sahaja persoalan tentang umrah serta pakej pelancongan yang kami sediakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebagai rekod, Karnival Rakyat Karangkraf yang bermula pada 26 Julai hingga 28 Julai lalu mencatatkan kehadiran seramai 100,000 pengunjung yang datang memeriahkan acara julung kali diadakan Kumpulan Karangkraf.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, penganjuran program itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada pembaca yang selama ini menyokong dan mendukung akhbar Sinar Harian sejak 18 tahun berada di pasaran.
Dalam pada itu Izzati memaklumkan, Andalusia turut berbesar hati menaja hadiah cabutan bertuah iaitu pakej umrah bernilai RM6,390 kepada seorang pengnjung yang bertuah.
“Pakej tersebut adalah Pakej Umrah Transit (Sharjah) Air Arabia Sharjah yang mana jemaah mendapat tajaan ‘full board’ untuk 12 hari 10 malam.
“Tarikh berangkat akan ditentukan sendiri oleh pemenang sebelum Ramadan tahun hadapan.
“Kami teruja untuk bekerjasama lagi dalam mana-mana acara bersama Karangkraf supaya boleh mendekati lebih ramai pelanggan,” ujarnya.
Bukan hanya umrah
Mengakui segmen pelanggan yang hadir ke karnival tersebut berbeza dengan yang pernah ditemui sebelum ini, Izzati berkata, program itu menjadi penanda aras pihaknya untuk meneruskan kerjasama dengan Karangkraf.
“Tajaan bagi cabutan bertuah itu merupakan yang pertama kali Andalusia sertai bersama Karangkraf sekali gus menjadi karnival pertama kami bersama rakyat di Selangor.
“Kami bersetuju bersama Sinar Harian kerana percaya tarikan pengunjung yang hadir dan memang saya mahu tembus pasaran cara ini berbanding di masjid.
“Bukan sahaja orang dewasa, malah golongan kanak-kanak juga ramai yang hadir, jadi kesedaran umrah dapat ditanam dalam diri mereka sejak di awal usia,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, perkhidmatan Andalusia tidak terhad kepada pakej haji dan umrah, malah merangkumi percutian mesra muslim.
Selain menyediakan pakej pelancongan dalam negara, Izzati memaklumkan, pihaknya turut menyediakan pakej mengembara ke negara-negara di Eropah, Afrika Selatan dan lain-lain lagi.
“Selama ini orang ingat Andalusia itu ada (perkhidmatan) umrah sahaja tetapi ramai yang tidak tahu kami juga menyediakan pelbagai pakej pelancongan, bukan hanya dalam negara malah ke serata dunia.
“Saya nak luaskan kesedaran orang ramai mengenai pakej kami yang bukan hanya terhad kepada umrah tetapi percutian mesra muslim.
“Kami turut menyediakan tiket penerbangan sahaja kepada mereka yang mahukan keselesaan dan kemudahan,” ujarnya.
Pengelola umrah diyakini
Menjadi antara nama besar dan diyakini dalam menawarkan perkhidmatan umrah, Izzati berkata, Andalusia telah menyantuni 53,000 jemaah di tanah suci pada musim 1445H.
Malah sejak awal Muharam lalu, sebanyak 27,000 pendaftaran telah direkodkan dan angka itu dijangka meningkat pada bulan berikutnya.
“Pakej umrah Andalusia berdasarkan kalender Hijrah dan pada 1445 Masihi, kami sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 53,000 jemaah.
“Bermula tahun baharu awal Muharam lalu yang jatuh pada 8 Julai 2024, pendaftaran untuk pakej umrah telah mencecah 25,000 jemaah dan pakej kami bermula dari RM6,390 termasuk tiket penerbangan, visa umrah, penginapan, makan dan sebagainya,” jelasnya.
Izzati berkata, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan kesihatan seperti dialisis kepada jemaah yang memerlukan bagi memenuhi tuntutan jemaah di Tanah Suci.
“Seperti kita tahu, ada warga emas yang memerlukan rawatan dialisis namun agak keberatan untuk mengerjakan umrah.
“Oleh itu kami menyediakan perkhdmatan tersebut di Mekah dan Madinah sama ada dihantar ke hospital kerajaan atau swasta. Jadi jangan bimbang, Insya-ALLAH kami sediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh semua golongan jemaah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!