Pindaan Akta Perubatan kukuhkan tadbir urus latihan kepakaran - KKM
SHAH ALAM - Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) merupakan langkah penting untuk membetulkan ketidakaturan dan menyelesaikan kekeliruan yang timbul daripada Pindaan 2012 sekali gus meningkatkan tadbir urus latihan kepakaran perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pengenalan peruntukan baru, mekanisme pengawasan dan jadual ke-4 serta ke-5 sebagai kaedah untuk mewujudkan kejernihan bagi memastikan ketelusan dalam bidang berkenaan.
“Pindaan ini diharapkan akan menghasilkan natijah penjagaan kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti latihan untuk profesional perubatan, yang akhirnya akan lebih menjamin keselamatan pesakit.
“Dengan pindaan ini, saya amat berharap agar profesion perubatan akan bergerak maju ke arah membina lembaran baru bagi yang mana semua pihak bekerjasama untuk memenuhi keperluan mendesak untuk pakar tanpa menjejaskan kualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dewan Rakyat meluluskan pindaan terhadap 12 peruntukan dalam Akta Perubatan 1971, yang dirangka sebagai ‘penyelesaian’ untuk pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar, termasuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran pascasiswazah terpilih di luar negara.
Muhammad Radzi menjelaskan peranan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebagai badan yang diberi kuasa untuk memantau tanggungjawab itu melalui pindaan tersebut.
Katanya, ia turut mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap MMC sebagai badan kawal selia.
“Pindaan ini juga memberi gambaran jelas mengenai keperluan yang perlu dipenuhi untuk dimasukkan ke dalam Daftar Pakar dan kemasukan pengalaman kerja pasca kelayakan (PQWE) serta kompetensi dalam Seksyen 14B Akta ini.
“Ia mencerminkan komitmen kami untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam latihan dan perkhidmatan kepakaran,” ujarnya.
Muhammad Radzi turut menegaskan agar pakar-pakar baru yang dimasukkan ke dalam Daftar Pakar itu akan berusaha untuk menggunakan kemahiran dan kepakaran sepanjang berkhidmat, khususnya kepada golongan kurang bernasib baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!