2 rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah bernilai RM3.7 juta di Maldives

Dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives. Gambar hiasan 123RF
Dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

NEW DELHI - Dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Menurut polis Maldives, pegawai Kastam negara itu menemukan 15 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi Sabtu.

Superintenden polis, Mohamed Afzal berkata, ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.

"Berikutan penemuan ini, Bahagian Penguatkuasaan Dadah kami memulakan operasi penghantaran terkawal. Operasi ini membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun, pada malam 28 Julai," menurut polis dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari.

"Siasatan kami sedang berjalan, dan kami bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasa undang-undang antarabangsa untuk mengumpul maklumat tambahan," kata ketua inspektor Ahmed Waheed.

Siasatan menunjukkan kemungkinan kaitan suspek dengan individu dari empat negara berbeza yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Rampasan ganja itu adalah yang terbesar di Maldives tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!