Polis trafik iring PM terbabit kemalangan
IPOH - Seorang anggota polis trafik cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan tugas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Persiaran Meru Raya 3, Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, Lans Koperal Mohd Faizol Deraman dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dilaporkan merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan yang berhenti secara tiba-tiba.
Ketika kejadian, Anwar dalam perjalanan untuk menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris yang melalui jalan itu turut berhenti dan segera memberi bantuan kecemasan kepada anggota tersebut.
Menurut kenyataan di Facebook Polis Perak, anggota tersebut telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kemalangan itu juga disaksikan Anwar yang turut bersimpati dan memberi sumbangan bagi meringan beban anggota terbabit yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!