SPRM tahan pemilik syarikat kemuka tuntutan palsu di Tawau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin menahan seorang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan sebut harga untuk kerja baik pulih serta penyelenggaraan dua sekolah bernilai kira-kira RM200,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.

"Suspek disyaki menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dua sekolah di negeri ini di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE),” katanya di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Tawau esok. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!