Mek Yun sebar aura positif
BAGI pelayar setia aplikasi di media sosial terutamanya di TikTok dan Instagram, kelibat wanita Cina yang fasih bercakap dialek Kelantan ini sememangnya bukan asing lagi.
Sejak awal kemunculan lagi, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mek Yun berjaya menarik perhatian ramai dengan aura positif yang ditunjukkannya.
Namun sebagai manusia biasa, wanita yang kini berusia 27 tahun itu juga tidak terlepas menjadi mangsa buli siber dan diejek kerana bentuk tubuh gempal.
Justeru, apa yang berlaku kepada pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha baru-baru ini turut meninggalkan kesan kepada anak ketiga daripada tiga adik-beradik itu.
"Tentulah terkesan dengan kes Esha kerana saya juga seorang pencipta kandungan media sosial seperti mendiang dan sama-sama terdedah dengan perkara seperti itu (buli siber).
"Dalam masa sama, satu perkara mengenai media sosial, kita tidak boleh kawal apa yang orang nak kata. Pernah di awal penglibatan, saya rasa tidak mahu hasilkan apa-apa video kerana menerima komen negatif.
"Bila difikirkan semula, adakah berbaloi untuk kita berhenti lakukan sesuatu yang kita suka hanya kerana mereka yang berada di belakang skrin (netizen) dan tidak mengenali kita secara peribadi." ujarnya.
Mek Yun berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Perang Nasi Dagang di Stor Teater, Dewan Bahasa Pustaka Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pembuli di ruang siber.
Apatah lagi, peristiwa yang berlaku ke atas mendiang Esha tidak sepatutnya berulang kepada individu lain.
"Perkara ini sudah sangat serius dan bukan boleh di ambil ringan. Saya harap pihak berkuasa boleh ketatkan undang-undang supaya peristiwa sama tidak akan berlaku lagi.
"Wujudkan satu undang-undang dan ambil tindakan tegas terhadap pembuli siber.
"Kebanyakan netizen, mereka fikir kata-kata mereka itu biasa sahaja tetapi bila kita berada dalam posisi seseorang yang mungkin mengalami masalah, baru mereka tahu betapa sukarnya berdepan dengan komen negatif," katanya.
Wanita berdarah Tionghua itu turut mengingatkan 'rakan seangkatan' untuk membina 'dinding' agar tenaga negatif yang diberikan oleh netizen tidak memberi kesan kepada mereka yang bergelar pempengaruh media sosial.
"Kepada netizen, ingin saya ingatkan kata-kata anda memberi impak yang sangat besar kepada kami. Fikir dua tiga kali sebelum komen apa-apa. Kita tidak tahu keadaan kesihatan mental seseorang itu bagaimana.
"Saya jadikan ejekan netizen yang kata gemok, peha besar, sebagai satu motivasi untuk turunkan berat badan.
"Apa-apa pun, jadilah insan yang baik kepada orang lain dan sebarkan aura positif anda," jelasnya yang kini berjaya menurunkan 14 kilogram selepas diejek kerana bentuk badannya.
Dunia seni
Sementara itu, bercakap mengenai karier seninya, Mek Yun meluahkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan membintangi drama terbaharu arahan Issey Fazlisham bagi siaran Astro Warna.
Katanya, sebagai pempengaruh, beliau melihat penglibatannya dalam bidang lakonan sebagai percubaan sesuatu yang berbeza.
"Saya memang gembira untuk jadi pelakon dan jika ada rezeki, saya mahu mencuba lebih serius.
"Kalau nak cakap mengenai gosip atau kontroversi, saya sudah bersedia dan keluarga juga memberi sokongan kuat, asalkan tidak memalukan mereka," katanya.
Membawakan watak Dee dalam Perang Nasi Dagang, Mek Yun berkata, beliau menjayakan watak sebagai Dee, gadis yang agak bimbo.
Katanya, karakter itu memberi cabaran kerana pada kehidupan sebenar beliau bukan berperwatakan sebegitu.
"Awalnya saya memang bimbang dan tidak yakin, tetapi bila pengarah dan penerbit memuji lakonan saya, barulah saya rasa lega.
"Secara keseluruhannya saya timba pengalaman yang sangat berharga dan berharap diberi kepercayaan lagi untuk berlakon selepas ini," katanya yang tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan komuniti Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!