Sokong tetapi jangan sekat kebebasan bersuara

Peraturan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bakal diperkenal oleh kerajaan mulai tahun depan. Gambar hiasan
Peraturan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bakal diperkenal oleh kerajaan mulai tahun depan. Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN akan menutup operasi mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini, yang didapati enggan patuh terhadap arahan memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025, selepas kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.

Ia bertujuan untuk menyekat kegiatan jenayah seperti perjudian, penipuan dalam talian, buli dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang kian membimbangkan menerusi saluran tersebut.

Selain Malaysia, antara negara lain yang telah melaksanakan peraturan sama ialah China, Rusia, India, Vietnam, Turkiye, Vietnam dan Indonesia. Kebanyakan daripada negara tersebut menetapkan supaya semua platform media sosial terlibat untuk menyimpan data di negara terbabit dan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Ada sesetengah pihak melihat ia sebagai satu usaha untuk menyekat penyebaran berita palsu dan fitnah termasuk menutup mulut pengkritik kerajaan. Namun kerajaan menafikan ia ada kaitan dengan perkara tersebut.

Akhbar ini menyokong penuh usaha kerajaan demi kebaikan rakyat di negara ini, namun dalam masa sama kita mahu kerajaan terus menyuburkan kebebasan bersuara.

Semua pihak boleh memberikan kritikan kepada sesiapa sahaja, tetapi perbuatan memfitnah perlu ditolak dengan keras kerana ia memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada sesebuah institusi tetapi individu. ini sudahpun terjadi dengan kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha yang menjadi mangsa buli siber.

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang ketat perlu dilakukan terutama melibatkan elemen 3R iaitu bangsa, agama dan raja yang dibimbangi akan mencetuskan huru-hara dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Atas sebab inilah kita juga harap rakyat di negara ini mempunyai kematangan dalam menggunakan media sosial dengan penuh tanggungjawab. Jika melanggar garis ditetapkan, bersedialah untuk menerima kesan daripada perbuatan tersebut.

Namun dalam masa sama, kerajaan juga perlu menggunakan segala pendekatan untuk menjelaskan sebarang isu berbangkit supaya ia tidak menjadi perdebatan panas di media sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!