Kuasa tular bantu jejak kanak-kanak hilang

Albertine Leo
Albertine Leo
A
A
A

BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.

Kehilangan Albertine mendapat perhatian banyak pihak yang turut berkongsi hebahan mengenai kehilangannya secara meluas di media sosial bagi membantu menjejaki kanak-kanak itu sejak dilaporkan hilang pada 20 Julai lalu.

Albertine disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam ketika mengikut bapanya ke pusat perniagaan tersebut dan laporan polis dibuat bapa mangsa.

Kanak-kanak itu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat di Batang Kali, Selangor tiga hari selepas itu, dalam tempoh kurang 48 jam selepas laporan polis dibuat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar pada sidang akhbar berkata, kejayaan kes berkenaan merupakan hasil maklumat orang awam selain usaha gigih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kehilangan mangsa diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik. Lima suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Apa yang menarik mengenai kes Albertine ini ialah keprihatinan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti membuat hebahan di media sosial supaya kanak-kanak tersebut ditemui semula.

Artikel Berkaitan:

Platform media sosial umpama senjata kepada sesiapa sahaja dengan hanya menekan butang kongsi ia mampu memberi kesan yang sangat luar biasa.

Malah, ada juga hebahan menerusi penstriman secara langsung bagi merayu agar sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis.

Realitinya, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa cukup bersatu, malah turut sama berasa gusar apabila sesuatu insiden buruk berlaku kepada seseorang.

Ramai yang memberi kata-kata positif, di samping mendoakan agar kanak-kanak itu dapat ditemui segera.

Tidak setakat itu, ada juga yang bermurah menawarkan ganjaran sehingga RM50,000 kepada sesiapa yang menemui kanak-kanak berkenaan. Seorang pemilik kafe di Stulang, Johor Bahru menawarkan ganjaran RM10,000.

Dia berbuat demikian kerana mempunyai anak yang sebaya dengan Albertine dan merasai kesedihan dilalui keluarga.

Tindakan positif sebegini sebenarnya memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang sedang menghadapi saat sukar kehilangan anak tersayang.

Sedar atau tidak, tindakan itu juga membuktikan rakyat berbilang kaum di negara ini hidup dalam kasih sayang dan sentiasa mengambil berat dengan meletakkan kanak-kanak yang hilang itu umpama anak sendiri.

Ini juga membuktikan bahawa sekiranya media sosial digunakan untuk tujuan yang baik, ia akan memberi manfaat besar kepada orang ramai. Namun jika digunakan untuk tujuan tidak baik, ia akan menyusahkan orang lain.

Misalnya, ada juga yang mengambil kesempatan menggunakan media sosial membuat spekulasi yang boleh mengundang keresahan rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa, malah boleh mengganggu siasatan polis. Perbuatan ini tidak sepatutnya dilakukan.

Polis juga telah memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian itu.

Benar, tidak perlu mengejar untuk menjadi orang terawal menyampaikan sesuatu maklumat yang belum nyata sahih semata-mata untuk mendapatkan perhatian ramai.

Sebaik-baiknya tunggu sahaja laporan secara rasmi daripada pihak polis terhadap sebarang perkembangan.

Apa pun, tindakan rakyat Malaysia berganding bahu membantu menjejaki Albertine ini sewajarnya dicontohi dan diteruskan.

Akhbar Sinar Harian hari ini secara eksklusif melaporkan, purata dua kes sehari membabitkan kes kanak-kanak hilang di seluruh negara direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM sepanjang tahun 2020 hingga 2023.

Mungkin dengan kuasa tular, sedikit sebanyak orang awam dapat membantu pihak polis menjejaki kanak-kanak yang dilaporkan hilang ini supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

* Nor Azura Md Amin ialah Wartawan Sinar Harian Johor

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!