Sekat kebebasan bersuara, akses maklumat

Perkhidmatan media sosial dan pesanan mesej internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon mulai tahun depan. Gambar hiasan 123rf
Perkhidmatan media sosial dan pesanan mesej internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon mulai tahun depan. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berdepan persepsi dianggap menyekat kebebasan bersuara dan akses kepada maklumat oleh negara luar sekiranya menutup semua penyedia platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang gagal memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan apabila ia dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Pakar keselamatan siber, Adlyn Adam Teoh berkata, ia merupakan antara implikasi negatif kesan daripada tindakan drastik tersebut.

"Kill switch ini (menutup semua penyedia platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang gagal memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan) boleh dilihat sebagai alat untuk penapisan berpotensi menyekat kebebasan bersuara dan akses maklumat.

"Selain itu, pelaksanaan baharu ini juga turut memberi cabaran kepada operasi perniagaan yang terlibat apabila terpaksa berdepan dengan kos tambahan susulan perlunya memiliki lesen.

"Keadaan ini akan memberi beban kepada penyedia media sosial terutamanya yang lebih kecil atau yang baru.

"Ini kerana banyak perniagaan kecil menggunakan media sosial untuk pemasaran, jualan dan khidmat pelanggan. Jadi, operasi mereka akan terjejas," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab implikasi yang bakal dihadapi sekiranya kerajaan bertindak menutup mana-mana media sosial yang gagal memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan pada Sabtu memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan mesej internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Keputusan tersebut antara lain untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, Adlyn bagaimanapun turut berpandangan pelesenan penyedia media sosial itu tetap mempunyai aspek positif yang tersendiri.

Menurutnya, langkah ini dilihat mampu memastikan platform berkenaan mematuhi piawaian dan peraturan tertentu, mempromosikan kandungan serta tingkah laku lebih bertanggungjawab.

"Melalui penetapan entiti infrastruktur maklumat kritikal nasional, undang-undang ini membantu melindungi perkhidmatan dan infrastruktur penting daripada ancaman siber," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Penyelidikan (Teknologi Pintar dan Sistem) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Azwa Abdul Aziz berpandangan kerajaan perlu melihat secara holistik kesan penutupan semua penyedia platform media sosial yang gagal memohon lesen nanti.

Ini kerana katanya, ia penting bagi memastikan pihak yang menggunakan platform berkenaan untuk tujuan positif tidak terkesan.

"Secara umumnya, ia satu langkah yang bagus tetapi pada masa sama kerajaan kena tengok perspektif secara keseluruhan.

"Bagi saya ia adalah tindakan yang drastik dalam mengekang masalah, namun dalam masa sama perlu juga lihat sari sudut implikasi kesannya kepada perkara positif.

"Sebagai contoh kesan yang bakal dihadapi kumpulan yang menggunakan platform berkenaan untuk tujuan mendidik, berniaga dan sebagainya. Jadi inilah perkara-perkara yang perlu diteliti," katanya.

Selain itu, Azwa melihat pemerkasaan dalam aspek memberi kesedaran lebih wajar difokuskan bagi melahirkan individu yang menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab berbanding mewujudkan undang-undang tegas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!