Ditikam 15 kali kerana soalan ayam atau telur keluar dahulu

Soalan ayam ke telur dulu telah mencetuskan pertengkaran antara dua lelaki. Foto Agensi
Soalan ayam ke telur dulu telah mencetuskan pertengkaran antara dua lelaki. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Apa yang keluar dahulu? Ayam atau telur?

Siapa sangka teka-teki berunsur jenaka yang biasa diajukan untuk menguji minda individu ini akhirnya membawa maut.

Gara-gara berang dengan soalan itu, seorang lelaki di Indonesia tergamak menikam mangsa dikenali sebagai Kadir Markus, 47, sebanyak 15 kali dengan badik dalam kejadian menggemparkan di sebuah desa di daerah Tongkuno, kabupaten Muna di Sulawesi Tenggara pada minggu lalu.

Menurut polis, kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika insiden tersebut.

Pelaku dikenali sebagai DR dikatakan telah mengajukan soalan paradoksikal tersebut kepada Kadir hingga berlaku pertengkaran tidak lama selepas itu.

"Kadir kemudiannya mahu meninggalkan lokasi itu, namun tindakannya mengundang kemarahan DR yang berlari ke rumahnya untuk mengambil sebilah badik lalu menikam mangsa," ujar Ketua Unit Siasatan Jenayah Daerah, La Ode Arsangka.

Sementara itu, Ketua Polis Tongkuno, Iptu Abdul Hasan mengesahkan suspek telah diberkas malah senjata berbahaya dan sepasang seluar miliknya turut dirampas.

"Dia telah didakwa dengan kes pembunuhan dan bakal dihukum penjara sehingga 18 tahun jika disabitkan kesalahan," jelasnya lagi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!