Polis rakam keterangan bapa kanak-kanak pandu kereta

Tangkap layar video tular menyaksikan seorang kanak-kanak memandu kereta dengan membawa dua adiknya di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor.
Tangkap layar video tular menyaksikan seorang kanak-kanak memandu kereta dengan membawa dua adiknya di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor.
A
A
A

SEPANG - Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang tular memandu kereta dengan membawa dua adiknya di sekitar taman perumahan tampil memberi keterangan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Perodua Viva dengan membawa dua adiknya di Taman Putra Impiana, Puchong di sini pada Isnin jam 6.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad, sekitar jam 8 malam apabila seorang kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta milik bapanya dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.

"Waris yang merupakan bapa dan pemilik kenderaan telah berjaya dikesan oleh pihak polis.

"Dia telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Kamarul berkata, bapa dan kanak-kanak tersebut tiba di IPD Sepang sekitar jam 11 malam pada Isnin.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi IPD Sepang," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis menyiasat rakaman video tular seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta dengan membawa dua kanak-kanak di sebuah kawasan taman perumahan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semakan laporan sedang dibuat dengan semua ketua trafik kontinjen negeri.

"Kita sedang kenal pasti lokasi kejadian selain akan kesan keluarga kanak-kanak terbabit," katanya.

Pada Isnin, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 49 saat, memaparkan kejadian di waktu malam itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!