Dana syarikat arak bertentangan dasar pendidikan negara, Islam - Mufti

Mohamad Sabri. Laporan Sinar Harian.
Mohamad Sabri. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sumbangan dana syarikat minuman keras yang dibawa masuk ke dalam institusi pendidikan termasuk sekolah vernakular adalah bertentangan dengan dasar pendidikan negara dan ia perlu disiasat secara teliti.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, Perlembagaan Malaysia secara asas berteraskan Islam dan semua pihak sewajarnya peka terhadap perkara tersebut.

"Isu arak merupakan perkara asas yang perlu diambil perhatian terutama apabila ia dikaitkan dengan pendidikan.

"Syarikat yang terlibat dalam perniagaan arak dengan menaja institusi pendidikan secara terbuka walaupun diberikan kepada sekolah Cina adalah bertentangan dengan roh dasar pendidikan negara itu sendiri," katanya memetik portal rasmi kerajaan negeri di sini.

Mohamad Sabri menegaskan bahawa sistem pendidikan adalah elemen penting terhadap masyarakat dan nilai-nilai tinggi dalam sistem tersebut mesti dipelihara selain masyarakat perlu peka berhubung isu berkenaan.

Justeru, Mohamad Sabri mencadangkan supaya isu tersebut disiasat dengan terperinci oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Menurutnya, garis panduan yang sedia ada seharusnya dikemas kini jika perlu.

“Ia bertujuan bagi memastikan kesesuaian penajaan dengan nilai dan prinsip pendidikan negara,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin lepas, DAP berharap isu konsert amal pendidikan yang membabitkan sumbangan serta tajaan sebuah syarikat minuman keras tidak dipolemikkan kerana perkara itu merupakan status quo dan sudah lama dipraktikkan di sekolah vernakular.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu dibenarkan untuk sekolah vernakular, namun perlu memastikan tajaan tidak melibatkan pelajar beragama Islam.

Baru-baru ini kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan bagi membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lepas itu dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

KPM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut, selain turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!